Kenali lebih dekat Jabatan Penerangan

Kenali lebih dekat Jabatan Penerangan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Dalam usaha bagi mengetahui dengan lebih mendalam fungsi dan peranan Jabatan Penerangan, jabatan tersebut telah mengadakan Mini Karnival sempena Sambutan Memperingati Penubuhan Jabatan Penerangan ke-64 tahun yang berlangsung di Atrium, Times Square, hari ini, di sini.

Mini Karnival yang berlangsung selama tiga hari itu dimeriahkan dengan pelbagai program dan aktiviti antaranya kuiz penerangan, kuiz kenegaraan, kuiz Unit Hal Ehwal Antarabangsa, peraduan mewarna Mini Karnival dan Instagram hunt.

Hadir melancarkan karnival tersebut ialah Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad yang seterusnya menyaksikan pameran yang disertai oleh unit-unit jabatan berkenaan.

Mini Karnival ini juga akan dilaratkan ke daerah-daerah lain di mana Daerah Temburong merupakan daerah kedua yang akan dikunjungi untuk mini karnival ini pada 20 hingga 21 April di Bangunan Kompleks Utama Kedai Bumiputera.

Awang Mawardi bergambar ramai bersama warga Jabatan Penerangan di petak Penerbitan dan Pameran.
Awang Mawardi bergambar ramai bersama warga Jabatan Penerangan di petak Penerbitan dan Pameran.

Manakala Daerah Belait akan diadakan di Seri Plaza pada 23 hingga 24 April dan Daerah Tutong akan diadakan di Petani Mall pada 26 hingga 27 April 2016.

Jabatan Penerangan berperanan memupuk dan memelihara semangat cintakan raja dan negara di samping mengendalikan pengurusan dan ehwal hubungan dengan media serta mengendali aktiviti publisiti dan promosi bagi acara kebesaran.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke mini karnival berkenaan dan menyertai aktiviti yang dianjurkan di karnival itu.

ARTIKEL YANG SAMA