Kenali lebih dekat negara Jepun

Kenali lebih dekat negara Jepun

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Dengan hasrat untuk bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan persahabatan dan silaturahim di antara masyarakat Jepun dan Brunei tetapi juga untuk lebih memahami ekonomi, politik dan dasar luar Jepun, rombongan seramai 19 orang dari Negara Brunei Darussalam berlepas ke Jepun bagi menyertai Program JENESYS 2016 yang membawa tema, ekonomi, bermula dari 29 Ogos hingga 6 September.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, untuk mengucapkan selamat berlepas kepada rombongan berkenaan ialah Setiausaha Pertama, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Tokuro Ambe serta ahli keluarga dan rakan-rakan para ahli rombongan berkenaan.

Menurut Tokuro, rombongan dari Brunei seramai 19 orang itu terdiri daripada sembilan orang penuntut universiti, tujuh orang usahawan dan tiga orang pegawai kerajaan dimana mereka akan menyertai kumpulan seramai 200 orang belia dari 10 negara iaitu lapan buah negara ASEAN, Timor-Leste dan India dalam program JENESYS 2016.

Beliau berkata bahawa bagi program itu, Jepun akan memberikan peluang kepada lebih 250 orang belia Brunei iaitu yang berusia 35 tahun kebawah untuk menyertai pelbagai program di bawah program JENESYS dengan hasrat untuk mempromosikan pertukaran penduduk di antara Jepun dan negara-negara Asia Pasifik, Amerika Utara, Eropah, Latin Amerika dan rantau Carribean.

Beliau menerangkan seramai 2,360 orang belia dari negara-negara anggota ASEAN, Timor-Leste dan India akan berpeluang untuk mengadakan lawatan ke Jepun di mana mereka dapat membangunkan hubungan silaturahim, persahabatan, kesefahaman dan kerjasama dengan penduduk Jepun serta juga di antara satu sama yang lain.

Tokuro Ambe bergambar ramai dengan rombongan seramai 19 orang belia yang menyertai Program JENESYS 2016, bermula dari 29 Ogos hingga 6 September depan.
Tokuro Ambe bergambar ramai dengan rombongan seramai 19 orang belia yang menyertai Program JENESYS 2016, bermula dari 29 Ogos hingga 6 September depan.

Beliau menambah penyertaan dari Brunei dalam program itu diharap dapat menyumbang ke arah memupuk warga tempatan yang berbakat dengan harapan dapat menerajui usaha ke arah kepelbagaian ekonomi negara.

Semasa program itu, peserta-peserta program akan berada di Tokyo, Jepun selama dua hari, kemudian mereka akan dibahagikan kepada tiga buah kumpulan untuk mengadakan lawatan ke tiga buah wilayah Jepun iaitu Miyagi, Aichi dan Osaka.

Di setiap wilayah, mereka akan mengadakan kunjung hormat kepada kerajaan setempat dan diberikan sesi taklimat mengenai ciri-ciri menarik setiap wilayah dan hubungannya dengan negara mereka.

Menerusi sesi lawatan itu, para peserta akan mengadakan lawatan ke kilang pembuatan kereta, penghawa dingin dan peralatan perubatan seperti Toyota Motor Corporation, Mitsubishi Motors, Daikin Industries, Shimadzu Corporation dan juga syarikat pengeluaran pertanian yang canggih.

Para peserta program juga akan berpeluang melawat Japan External Trade Organization (JETRO) dan mendengar daripada syarikat-syarikat Jepun yang berminat untuk berniaga atau melabur dengan syarikat-syarikat di negara.

Selain itu, peserta program berkenaan akan diberikan pendedahan kepada sejarah dan budaya masyarakat Jepun dengan mengadakan lawatan ke tempat-tempat bersejarah seperti Kuil Narita-San Shinshoji, Kuil Kiyomizu-dera, Istana Okazaki dan Muzium Samurai.

Mereka juga akan didedahkan kepada pelbagai seni dan budaya masyarakat Jepun seperti majlis minum teh, mengasah pedang dan bermain dram tradisional Jepun, Wadaiko.

Sesetengah peserta juga akan berpeluang menikmati pengalaman inap desa atau tinggal bersama keluarga angkat selama satu atau dua hari semasa lawatan itu dan sesetengah peserta pula akan berpeluang untuk tinggal di kawasan ladang tempatan dan berpeluang berinteraksi dengan masyarakat setempat.

Menerusi program seperti ini, para peserta bukan sahaja akan dapat belajar mengenai sejarah dan budaya masyarakat Jepun tetapi mereka juga dapat melihat sendiri teknologi canggih yang digunakan dalam industri buatan di Jepun dan berjumpa dengan masyarakat Jepun yang ingin membina hubungan perniagaan dengan negara-negara peserta termasuk Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA