Kenali muzium kitani

Kenali muzium kitani

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Dalam usaha untuk mendekati dan menyebarluaskan lagi mengenai muzium-muzium dan galeri yang terdapat di bawah Jabatan Muzium-Muzium, jabatan berkenaan mengambil langkah positif untuk mendekati orang ramai dengan mengadakan Taklimat Muziumku, Warisanku ke Sekolah Rendah Raja Isteri Fatimah, kelmarin.

Taklimat yang dihadiri seramai 40 orang murid Tahun 4 sekolah berkenaan memberikan peluang kepada para pelajar untuk mendengar dan diperkenalkan kepada muzium-muzium di bawah pentadbiran Jabatan Muzium-muzium yang terdapat di negara ini iaitu Muzium Brunei, Muzium Teknologi Melayu, Bangunan Alat Kebesaran Diraja, Taman Warisan Tasek Merimbun, Galeri Seni, Muzium Maritim Brunei Darussalam dan Arkib Negara Brunei Darussalam.

Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Perkhidmatan Pelajaran, Jabatan Muzium-muzium, Haji Mahrin bin Haji Abas yang mana melalui taklimat itu, Jabatan Muzium-muzium menyatakan hasrat untuk mengambil langkah positif dalam menyebarkan dan menyampaikan maklumat mengenai kepentingan menjaga khazanah warisan negara dalam kalangan sekolah-sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

Selain disalurkan kepada sekolah-sekolah rendah dan menengah termasuk sekolah-sekolah di kawasan pedalaman di seluruh negara, program pendekatan itu juga disasarkan ke peringkat mukim dan kampung sebagai kerja serta usaha sama antara Jabatan Muzium-muzium dan majlis perundingan kampung (MPK) serta persatuan-persatuan.

Dayang Mariani memberikan penerangan semasa taklimat berkenaan.
Dayang Mariani memberikan penerangan semasa taklimat berkenaan.

pg08_151012_a

Murid-murid memberikan perhatian kepada taklimat yang disampaikan.
Murid-murid memberikan perhatian kepada taklimat yang disampaikan.

Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Muzium-muzium, Dayang Mariani binti Haji Abu Bakar memberitahu Media Permata mengenai harapannya supaya program itu akan mendapat sambutan khususnya dalam kalangan guru-guru dan penuntut-penuntut sekolah serta mengambil kira beberapa pakej yang akan diperkenalkan untuk menanamkan objektif Jabatan Muzium-muzium dalam memartabatkan warisan negara.

Sehubungan dengan itu, bagi mereka yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai program pendekatan berkenaan, bolehlah menghubungi Jabatan Muzium-muzium melalui e-mel info@muzium.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA