Kenali negara ASEAN

Kenali negara ASEAN

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan ASEAN-COCI, hari ini, telah mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN di Dewan Sekolah Menengah Sayyidina Husain (SMSH), Mukim Sengkurong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengetua, Hajah Norainah binti Haji Mokkim, dan dihadiri oleh guru-guru serta lebih 370 orang penuntut Tahun 7 dan 8 sekolah berkenaan.

Jerayawara itu antara lain bertujuan memberi pendedahan dan menyalurkan maklumat asas berkaitan ASEAN kepada para penuntut selain mengetengahkan maklumat tentang Wawasan 2035 selaras dengan statistik perbandingan Negara Brunei Darussalam di arena serantau.

Ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan para penuntut sekolah mengenai ASEAN selain untuk mengenal pasti sejauh mana para penuntut mengetahui mengenai ASEAN dengan menanamkan kesedaran dan rasa milik dalam kalangan para penuntut sekolah sebagai masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN iaitu ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti’.

Taklimat mengenai ASEAN telah disampaikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Awang Isa bin Haji Abdul Rahman dari Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan.

Kuiz Kenali ASEAN juga diadakan sejurus selesainya taklimat ASEAN, di mana 10 orang penuntut yang berjaya menjawab Kuiz ASEAN menerima hadiah yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan penuntut dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

Dalam masa yang sama juga bagi mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya penuntut-penuntut di Negara Brunei Darussalam dengan memberikan tumpuan kepada penuntut Tahun 7 hingga 9 di sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA