Kenali sejarah Brunei

Kenali sejarah Brunei

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Sebagai salah satu program ke arah merakyatkan sejarah kepada semua peringkat lapisan masyarakat di negara ini, Pusat Sejarah Brunei akan mengadakan Karnival Sejarah pada 30 November hingga 2 Disember ini.

Setelah menganjurkan karnival seumpamanya di Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Brunei dan Muara sebelum ini, karnival kali ini akan menumpukan di Daerah Temburong di mana ia akan diadakan di Kompleks Kemasyarakatan, Pekan Bangar.

Dalam sidang media mengenai karnival berkenaan di Bilik Mesyuarat Pusat Sejarah Brunei, di sini, hari ini, Pemangku Timbalan Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Awang Hanafi bin Haji Salleh selaku Pengerusi Bersama Karnival Sejarah 2015, menjelaskan karnival yang akan dibuka dari pukul 8:30 pagi hingga 4 petang itu merupakan salah satu cara untuk mempromosikan peranan Pusat Sejarah Brunei sebagai Pusat Sumber Persejarahan Brunei kepada umum di samping membawa orang ramai turut serta dalam aktiviti yang diadakan.

Menurut beliau, ia bermatlamat untuk mendekatkan sejarah Brunei melalui pameran dan aktiviti di samping itu menanam semangat cintakan raja, agama, bangsa dan negara melalui pameran serta aktiviti yang dilaksanakan.

Hajah Dayang Fatimah dan Awang Hanafi ketika berucap pada sidang media itu.
Hajah Dayang Fatimah dan Awang Hanafi ketika berucap pada sidang media itu.
Suasana ketika sidang media itu berlangsung.
Suasana ketika sidang media itu berlangsung.

Pelbagai jenis aktiviti berupa sejarah akan diadakan bagi penyertaan orang ramai termasuk pameran fungsi peranan Pusat Sejarah, misi dan visi, gambar-gambar lama Pekan Bangar serta imbasan karnival yang diadakan sebelumnya.

Aktiviti juga akan melibatkan persembahan etnik Melayu, Dusun, Bisaya, Kedayan dan Murut di samping kuiz, penulisan jawi, salasilah, gambar teka teki kreatif dan gerai-gerai jualan.

Selain itu, orang ramai juga dapat menyaksikan peralatan lama yang digunakan pada zaman dahulu dan mempelajari apa kegunaannya pada zaman itu.

“Dengan adanya karnival ini nanti, ia memberi peluang kepada orang ramai yang memiliki bahan-bahan bernilai sejarah untuk dipamerkan atau dikongsikan kepada umum dan juga memberi peluang kepada orang ramai memperkenalkan produk tempatan yang bernilai sebagai warisan dan sejarah seperti makanan tradisional, pertukangan dan seumpamanya,” ujar beliau lagi.

Karnival itu nanti dijangka dilancarkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

ARTIKEL YANG SAMA