Kenali sejarah maritim negara

Kenali sejarah maritim negara

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Rombongan seramai 55 orang yang terdiri daripada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei Cawangan C 1 dan keluarga mereka serta ahli-ahli Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) C1, kelmarin, telah mengadakan lawatan ke Muzium Maritim Brunei Darussalam sempena musim cuti sekolah ini.

Cawangan C1 terdiri daripada Cawangan Polis Marin, Pasukan Simpanan C Kompeni dan Balai Polis Temburong.

Lawatan ini merupakan salah satu program yang telah disusun sempena musim cuti persekolahan, yang mana ia antara lain bertujuan untuk mendedahkan mereka terutama belia dan kanak-kanak tentang sejarah maritim negara khususnya terhadap peninggalan-peninggalan artifak dan teknologi maritim dari pelbagai zaman.

Gambar ramai rombongan yang mengikuti lawatan tersebut.
Gambar ramai rombongan yang mengikuti lawatan tersebut.

Lawatan yang diketuai oleh Penolong Pegawai Pemerintah Polis Marin, DSP Pengiran Haji Abdul Salam bin Pengiran Haji Abdul Ghani, juga selaku Timbalan Pengerusi Cawangan C1 Pasukan Polis Diraja Brunei telah dialu-alukan oleh Pegawai Muzium Kanan, Awang Hanapi bin Haji Maidin.

Dalam lawatan itu, rombongan juga telah mendengar taklimat yang disampaikan oleh Awang Hanapi mengenai pentingnya sejarah maritim negara terutamanya penemuan kapal pedagang karam dari China pada akhir abad ke-15 yang telah ditemui pada tahun 1997.

Sejarah penemuan ini menunjukkan terdapatnya hubungan kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dengan China dalam bidang perdagangan yang telah wujud seawal kurun ke-10 melalui laluan sutera maritim.

ARTIKEL YANG SAMA