Kenalkan belia dengan TUDB

Kenalkan belia dengan TUDB

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 30 Dis – Seramai 42 orang belia dari Perumahan Kampung Panaga 2000, Seria hari ini, telah membuat lawatan sambil beriadah ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Kampung Rimba, sebagai sebahagian daripada aktiviti musim cuti sekolah sebelum memulakan persekolahan awal tahun hadapan.

Lawatan tersebut telah diketuai oleh Pengerusi Pengawasan Kejiranan Kampung, Haji Hassan bin Tuah dan disokong oleh Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Panaga 2000.

Menurut beliau, lawatan sebegini diadakan bagi membuka minda dan menarik minat belia-belia di kampung tersebut agar menceburi bidang kerjaya tentera lebih-lebih lagi kepada yang berminat terutamanya di bahagian angkatan tentera udara.

Ketibaan mereka telah dialu-alukan oleh Pelatih Juruterbang Skuadron 73 merangkap Pemangku Pegawai Latihan/Rancangan TUDB, Leftenan (U) Awang Amir bin Dawod.

Gambar ramai rombongan semasa di Pangkalan TUDB.
Gambar ramai rombongan semasa di Pangkalan TUDB.
Belia Kampung  Panaga melihat lebih dekat helikopter TUDB.
Belia Kampung Panaga melihat lebih dekat helikopter TUDB.

Rombongan telah mendengar taklimat mengenai fungsi dan matlamat TUDB di samping ciri-ciri tugasan serta keperluan unit-unit yang ada.

“Kebanyakan belia-belia di kampung ini adalah (golongan) muda dalam lingkungan 17 ke 25 tahun dan kami berharap dengan didikan serta pengenalan awal kepada TUDB akan dapat mengajar mereka juga tentang ciri-ciri kehormatan, kesetiaan dan kedaulatan terhadap negara ini,” ujar Awang Hassan.

Beliau turut memuji sikap ingin tahu belia-belia yang telah menyuarakan soalan-soalan berkaitan dengan permohonan serta ciri-ciri untuk masuk ke TUDB kepada kakitangan yang hadir semasa lawatan berkenaan diadakan.

“Melalui sesi sebegini, anak-anak muda akan lebih tahu akan apa yang mereka ingin lakukan untuk masa hadapan mereka nanti,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA