Kenang, hargai jasa bakti

Kenang, hargai jasa bakti

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Seramai 364 orang kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan yang bersara pada Tahun 2014 dan 2015, telah diraikan pada Majlis Meraikan Persaraan yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Majlis anjuran Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) itu telah meraikan para pegawai, tenaga pengajar dan kakitangan yang berkhidmat di sekolah-sekolah, maktab-maktab dan institusi-institusi pendidikan teknik dan vokasional serta pengajian tinggi yang menamatkan perkhidmatan mereka pada tahun berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr.Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Prof. Madya Dr. Haji Azman bin Haji Ahmad; para pengarah, pegawai kanan, pegawai serta kakitangan Kementerian Pendidikan.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi hadir bersama tetamu lain pada Majlis Meraikan Persaraan Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pendidikan bagi Tahun 2014 dan 2015.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi hadir bersama tetamu lain pada Majlis Meraikan Persaraan Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pendidikan bagi Tahun 2014 dan 2015.
Timbalan Menteri Pendidikan bersama tetamu lain yang hadir pada majlis itu.
Timbalan Menteri Pendidikan bersama tetamu lain yang hadir pada majlis itu.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Awang Muhammad Hanafi bin Haji Zaini.

Antara tujuan majlis itu adalah bagi menghargai dan mengenang jasa bakti pegawai dan kakitangan kementerian ini yang pernah bertugas dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta untuk mengeratkan dan mengekalkan silaturahim dan hubungan kekeluargaan di antara pegawai dan kakitangan yang masih berkhidmat dan yang telah bersara di Kementerian Pendidikan.

Acara kemuncak pada majlis berkenaan ialah Penyampaian Sijil dan Cenderahati yang disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada para pegawai dan kakitangan yang bersara.

ARTIKEL YANG SAMA