Kenang jasa penjaga keamanan

Kenang jasa penjaga keamanan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei- Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) menggalas tugas yang sangat murni iaitu mempertahankan negara daripada segala ancaman dan pencerobohan musuh yang boleh menggugat keamanan dan kedaulatan negara.

Negara Brunei Darussalam mempunyai pasukan angkatan bersenjata yang berkemampuan menjadi benteng utama kepada pertahanan negara dan sebagai rakyat dan penduduk di negara ini, patut bersyukur kepada Allah S.W.T dan berbangga terhadap sumbangan ABDB yang tidak ternilai harganya kepada keamanan dan kesejahteraan negara yang tercinta ini.

Khatib dalam khutbah Jumaat menekankan tugas murni ABDB dan seterusnya menjelaskan, tarikh 31 Mei merupakan tarikh bersejarah dan menjadi ristaan bagi Negara Brunei Darussalam dan generasi akan datang di mana tarikh itu merupakan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

“Tugas mempertahankan agama dan negara, besar ganjarannya di sisi Allah dan sekiranya mereka gugur dalam menjalankan tugas, Allah S.W.T akan memberikan ganjaran pahala yang setimpal dengannya,” tambahnya.

Islam adalah agama yang mencintai kedamaian dan keamanan tetapi membenci permusuhan di mana keamanan, kesentosaan dan kestabilan hidup rakyat merupakan harapan dan hasrat setiap negara.

Khatib seterusnya menegaskan, baik negara kecil mahu pun besar, sama ada ia negara Islam mahu pun bukan Islam di mana semua ini mengharapkan keamanan dan kemakmuran.

Di dalam Islam, tegas Khatib, wujudnya pasukan bersenjata bukan berniat untuk melakukan pencerobohan dan penganiayaan terhadap sesiapa namun digunakan untuk mempertahan diri dan negara daripada ancaman pengkhianatan dan pencerobohan.

Dalam perkara ini timbulnya salah faham hingga timbul tuduhan dan tanggapan sinis yang mengatakan Islam itu disebarkan dengan kekerasan, kezaliman dan Islam itu menggalakkan peperangan di mana mereka mendakwa Islam tersebar dengan peperangan.

Bagi membetulkan salah faham ini, tegas Khatib, perlu diketahui dan difahami prinsip sebenar dalam Islam di mana Islam tidak akan memerangi sesiapa tetapi akan berjihad ( berjuang jika diperangi).

“Peperangan dalam Islam tidak boleh berlaku dan tidak boleh dicetuskan melainkan atas sebab-sebab tertentu seperti mempertahankan diri dan menentang pencerobohan, mempertahankan diri daripada penganiayaan dan kezaliman dan menegakkan keadilan,” tegasnya.

Islam juga melarang peperangan untuk meluaskan kuasa, pengaruh atau jajahan takluk selain melarang peperangan kerana membalas dendam hingga mencetuskan permusuhan dan kehancuran.

Khatib seterusnya menambah, Islam membolehkan jihad bersenjata dilakukan, apabila orang Islam diperangi dan dizalimi, dihalau dari kampung halaman dan rumah mereka, harta dirampas, ditegah daripada beriman kepada Allah S.W.T dan berlaku pencerobohan di masjid.

“Orang Islam tidak digalakkan mencabuli hal orang lain, peperangan bukan cara hidup orang Islam yang mana peperangan adalah pilihan terakhir setelah tidak ada jalan penyelesaian,” jelasnya.

ARTIKEL YANG SAMA