Kenangan ‘garam manis’ Pattani

Oleh IKurniawati Kamarudin

 

PATTANI – Bila dah sampai ke Pattani memang wajib cuba garam manis, ujar seorang daripada penduduk Kampung Bana ketika menghadiahkan buah tangan berupa sebekas kecil garam, produk penduduk tempatan di sini.

Teruja dengan garam manis, terus sahaja masing-masing mencuba untuk merasa di mana manisnya garam Pattani ini.

Masinnn!!!, jerit peserta rombongan media Malaysia yang mengikuti program ke Selatan Thailand anjuran Persatuan Media Untuk Kedamaian Selatan Thailand (Southern Peace Media Club atau SPMC) hingga membuatkan semua ketawa kerana tertipu dengan ‘’garam manis”.

Garam manis adalah panggilan pada garam yang diusahakan penduduk kampung di sekitar Pattani terutama yang tinggal di kawasan berdekatan dengan laut. Telah diusahakan sejak beratus tahun dahulu, proses penghasilannya yang masih mengekalkan cara tradisional menjadi antara tarikan pelancong ke Pattani yang dahulunya dikenali dengan nama Langkasuka.

Terkenal seluruh Thailand

Dikatakan garam manis Pattani cukup dikenali di seluruh Thailand bukan sahaja kerana proses penghasilannya tetapi kerana khasiat yang terdapat pada garam itu terutama untuk kesihatan dan kecantikan kulit. Menurut penduduk kampung yang hanya dikenali Mat Yi, garam di sini memang agak istimewa kerana kadar kemasinannya yang lebih rendah berbanding garam yang dihasilkan di tempat lain di Thailand. “Air laut yang bercampur dengan air tawar di kawasan sini menyebabkan garam di sini kurang masin, lebih lemak hingga digelar garam manis,” katanya.

Dikatakan garam manis Pattani cukup dikenali di seluruh Thailand bukan sahaja kerana proses penghasilannya tetapi kerana khasiat yang terdapat pada garam itu terutama untuk kesihatan dan kecantikan kulit.

Pemandangan lautan bendang garam boleh dilihat terutama pada musim kemarau yang menjadi waktu paling sesuai untuk memproses garam.

Selama satu bulan air laut perlu dijernihkan sebelum dilepaskan ke petak bendang untuk menghasilkan garam. Manakala pada musim hujan ketika tidak mengusahakan bendang garam, penduduk kampung akan turun ke laut atau sungai mencari rezeki dengan menangkap ikan atau udang.

Kedatangan ramai pelancong untuk melihat sendiri proses menghasilkan garam telah memberi tambahan rezeki kepada penduduk kampung yang kini giat mempelbagaikan lagi produk pelancongan desa mereka.

Antara tarikan baharu menyusuri sungai di Tanjung Luk Luk melalui jeti kecil di Kampung Bana.

“Sejak adanya jeti di sini yang dibina penduduk kampung lima tahun lepas, semakin ramai pelancong datang untuk menyusuri kuala sungai dan menziarahi makam kesultanan Pattani yang berdekatan di sini,” katanya.

Ziarahi makam diraja

Pattani yang pernah diperintah di bawah kerajaan beraja, kesultanan Pattani mempunyai sejarah yang cukup hebat dari semua aspek politik, ekonomi dan ketenteraan. Tanjung Luk Luk sendiri pernah menjadi pusat perdagangan antarabangsa yang cukup sibuk dengan kedatangan ramai pedagang dari timur dan barat.

Kegemilangan kesultanan Pattani mencapai kemuncaknya ketika di bawah pemerintahan empat orang ratu iaitu Raja Hijau, Raja Biru, Raja Unggu dan Ratu Kuning dari tahun 1584 hingga 1651. Melalui jeti di Kampung Bana, penulis dibawa menyusuri sungai di Tanjung Luk Luk untuk melihat makam tiga ratu yang cukup terkenal ketika memerintah Kesultanan Pattani iaitu Raja Hijau, Raja Unggu dan Raja Biru.

Perjalanan menaiki bot mengambil masa kira-kira 15 minit untuk sampai ke Kampung Barahom. Selepas turun ke tebing sungai, penulis meneruskan dengan berjalan kaki kira-kira 500 meter untuk ke makam berkenaan.

Menurut sejarahnya, pentadbiran keempat-empat ratu yang berbeza telah memberi kemakmuran dan pembangunan pesat hingga Pattani mampu menjalin hubungan dengan Belanda dan Portugal.

Hasilnya, Pattani pada masa itu mempunyai 43 jajahan takluk termasuk Yala, Narathiwat dan sebahagian Songkla sehingga ke Kelantan, Terengganu dan utara Kedah. Kestabilan yang dikecapi selama 67 tahun di bawah pemerintahan keempat-empat ratu akhirnya merosot selepas kemangkatan Raja Kuning yang makamnya kini berada di Kota Bharu, Kelantan.

Masjid jadi tarikan utama

Sudah puas melihat kehidupan masyarakat kampung di Pattani, penulis bersama 25 media dari Malaysia dibawa mengelilingi bandar Pattani menaiki kenderaan tram untuk melihat tempat-tempat menarik yang sering menjadi tumpuan pelancong. Hentian pertama tentunya di Masjid Jamek Pattani, masjid terbesar yang terletak di tengah-tengah bandar Pattani di Jalan Yarang.

Pattani yang  pernah diperintah di bawah kerajaan beraja, kesultanan Pattani mempunyai sejarah yang cukup hebat dari semua aspek politik, ekonomi dan ketenteraan.

Apabila berada di hadapan masjid, penulis terus terbayangkan Taj Mahal kerana ciri-ciri senibinanya yang seakan sama terutama kolam besar yang panjang yang dibina di hadapan pintu masuk utama.

Keindahan bangunan pada masjid diserikan dengan kubah besar di tengah-tengah selain dikelilingi empat yang kecil serta dua menara. Rupa-rupannya, masjid yang dibina pada tahun 1954 itu memang diberi jolokan Taj Mahal Thailand kerana pengaruh kuat senibina Taj Mahal selain pengaruh Arab.

Masjid yang berharga 46 juta baht itu mengambil masa sembilan tahun untuk disiapkan dan mampu memuatkan tiga ribu jemaah pada satu-satu masa.

Keunikan Masjid Kerisik

Pengembaraan di Pattani tidak akan lengkap sekiranya tidak mengunjungi Masjid Kerisik atau lebih dikenali dalam kalangan masyarakat Thailand, Masjid Krue Se. Bangunannya yang seperti tidak siap menjadi keunikan masjid yang sehingga kini masih menjadi ikon masyarakat Islam di Pattani.

Sebagai masjid pertama di Asia Tenggara yang menggunakan bata merah, Masjid Kerisik yang dibina ketika era pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1530-1564) banyak dipengaruhi dari Timur Tengah pada senibinanya yang boleh dilihat pada pintu dan tingkap masjid yang berbentuk gerbang.

Binaan utama masjid terdiri dari satu dewan solat yang berdinding dan dewan atau dataran solat terbuka tanpa dinding yang menganjur ke bahagian belakang masjid. Batu bata yang disusun tidak diikat menggunakan simen sebaliknya hanya menggunakan putih telur yang dicampur dengan beras pulut hitam, kulit kerang dan manisan cair sebagai penguat yang membuatkan ia kelihatan seperti seni bina yang belum siap sempurna.

Kesan keruntuhan masih boleh terlihat pada bahagian kubahnya akibat daripada peperangan yang berlaku di antara Kesultanan Pattani dan Siam pada 1786. Walaupun sudah lima abad berlalu, Masjid Kerisik masih berdiri sebagai tempat yang sangat bernilai dari sudut sejarah, kesenian dan senibinanya sejak dahulu sampailah sekarang.

Masjid yang berusia lebih 400 tahun itu cukup penting kerana merakam banyak sejarah Pattani terutama peranannya sebagai pusat pentadbiran kerajaan Pattani satu ketika dahulu. Selain itu, pasti tidak boleh dilupakan peristiwa berdarah 13 tahun lepas apabila Masjid Kerisik menjadi saksi pembunuhan beramai-ramai yang mengorbankan 34 anak muda yang diserang di dalam masjid pada April 2004. Lubang, kesan tembakan masih boleh dilihat di dinding masjid.

Meskipun konflik di Selatan Thailand masih belum menemui penyelesaian namun usaha ke arah kedamaian melalui pembangunan ekonomi tiga wilayah di Yala, Pattani dan Narathiwat telah dimulakan sejak awal tahun ini.

Di Pattani fokus diberikan di kawasan Nong Chik, 8 kilometer dari bandar Pattani dengan menjadikannya sebagai bandar pertanian. Antara projek yang sedang dijalankan ialah penananam padi, kelapa, kilang memproses kelapa sawit ladang kambing dalam skala besar dan industri makanan halal. Tidak mustahil kegemilangan Kesultanan Pattani akan kembali dengan pembangunan rancak ekonomi yang sedang dirancang. – Bernama