Kendali 524 kes tangkap ular

Kendali 524 kes tangkap ular

KUCHING, 20 Julai – Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sarawak menangani 524 kes berkaitan tugasan menangkap ular, atau mewakili sekitar 18 peratus daripada 2,922 keseluruhan kes yang dikendalikannya sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pegawai Perhubungan Awam JPAM Sarawak, Siti Huzaimah Ibrahim berkata jumlah tugasan paling tinggi yang dikendalikan dalam tempoh berkenaan adalah urusan mengendalikan pengangkutan buat pesakit yang mencatatkan sebanyak 676 kes atau 23.1 peratus.

Beliau berkata ia disusuli dengan perlaksanaan kerja-kerja kemasyarakatan, termasuk operasi bersepadu dalam menghadapi banjir, kerja-kerja menangkap binatang liar, menebang pokok dan sebagainya yang mewakili 20 peratus atau 585 kes.

Katanya 18.65 peratus lagi mewakili tugasan mengendalikan kes-kes kemalangan jalan raya yang berjumlah 545 kes, membabitkan 501 mangsa.

“Keseluruhan tugasan sepanjang tempoh ini menyaksikan JPAM Sarawak memberi bantuan kepada 1,506 mangsa dalam pelbagai kes-kes kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini baru-baru ini. Beliau berkata JPAM Sarawak mempunyai lebih 34,000 anggota dengan 14 Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) di seluruh Sarawak, dan ia tidak pernah ditutup walaupun pada hari kelepasan am dan akan menghulurkan bantuan tanpa mengira waktu.

Menurutnya PKOD Kuching mencatatkan panggilan kecemasan paling tinggi dengan 1,368 atau 46.8 peratus, manakala paling rendah ialah PKOD Sarikei dengan hanya empat panggilan. – Bernama