Kendali projek tingkat ekonomi masyarakat

Kendali projek tingkat ekonomi masyarakat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 8 Mei – Majlis-majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK) disarankan untuk lebih tampil ke hadapan mengendalikan berbagai-bagai aktiviti yang boleh meningkatkan ekonomi, bukan sahaja kepada penduduk kampung malahan kepada masyarakat keseluruhannya di daerah ini.

Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Muhd Sunadi bin Haji Buntar berkata, aktiviti-aktiviti seperti ekspo, jualan bazar dan sebagainya, akan dapat menggalakkan untuk memajukan dan mengetengahkan pengusaha-pengusaha tempatan khususnya produk-produk yang dihasilkan oleh MPMK.

Bercakap kepada media, Haji Muhd Sunadi hari ini menekankan bahawa dalam mempromosikan produk tempatan, banyak aspek dilihat antaranya pembungkusan yang menarik, bahan-bahannya dan pihak MPMK perlu banyak bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan supaya dapat menembusi pasaran negeri jiran.

Selain itu, perancangan yang rapi juga penting dan harus melihat bagaimana produk tempatan dapat dimajukan.

Beliau menekankan perkara ini ketika ditemui selepas melawat petak-petak jualan pada Pesta Belait 2016 sejurus selepas menyempurnakan perasmian pesta tersebut yang diadakan di kawasan lapang Tudong Saji, di sini, hari ini.

Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menyempurnakan perasmian Pesta Belait 2016.
Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menyempurnakan perasmian Pesta Belait 2016.

Pesta Belait 2016 yang berlangsung sejak 6 Mei lalu hingga 5 Jun depan di kawasan Tudung Saji dan Hadapan Menara Cendera Kenangan Jalan Sungai Kuala Belait itu dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung Mumong, dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, serta dikendalikan bersama oleh Pengurus Acara Syarikat Mizswan dan RYS Event Management.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara, selaku Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin pula menjelaskan bahawa, pesta itu antara lain bertujuan menyahut seruan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya rakyat berusaha dan menggalakkan peniaga-peniaga tempatan terutama sekali peniaga kecil dan sederhana (PKS) menceburkan diri dalam bidang perniagaan serta meningkatkan ekonomi dengan lebih aktif.

“Acara ini juga adalah untuk menggalakkan penduduk di negara kita berbelanja di negara sendiri, dan dapat membendung pengaliran wang keluar negara, dalam masa yang sama memberikan sokongan untuk menceriakan suasana di Belait dapat diteruskan, dan menjadikannya akan terus ceria,” kata Yang Berhormat Haji Mohd Yusof.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Bisnes Syarikat RYS Event Management, Foo Kian Ming pula memberitahu,mereka masih membukakan penyertaan berniaga di pesta tersebut, dan setakat ini terdapat kira-kira 20 peniaga yang sudah mendaftar tetapi akan memulakan perniagaan mereka minggu depan, kerana ada dalam kalangan mereka yang masih menyertai ekspo di Daerah Brunei dan Muara.

Menurutnya lagi, setakat ini sebanyak 68 petak telah diisikan, termasuk penyertaan dua petak dari Majlis Perundingan Kampung Mumong dan Majlis Perundingan Kampung STKRJ Seria, manakala yang lainnya ada juga menyertai ekspo di tempat lain yang masih belum berakhir.

“Setakat ini, terdapat 20 petak di kawasan Zon Sejuk, dengan petak jenis khemah bertutup dengan penghawa dingin, manakala selebihnya bertempat di kawasan Tudung Saji dan lokasi lainnya yang dinamakan Zon A, B, C, D dan E, termasuk petak jualan makanan bungkus, dan jenis warung berdekatan dengan kawasan Tudung Saji,” jelasnya.

Selain jualan pelbagai barangan, mereka juga telah menyediakan beberapa aktiviti sampingan setiap penghujung minggu sehingga 29 Mei, antaranya hari ini diadakan ekspedisi berbasikal yang telah disempurnakan pelepasannya oleh tetamu kehormat, diteruskan juga dengan acara kemahiran mengawal kayuhan basikal secara perlahan.

Manakala itu, pada 14 Mei depan akan diadakan pertunjukan Tamiya, diikuti dengan pameran kenderaan jenis pacuan empat roda, pertandingan memasak dan pada minggu akhir akan diadakan perlumbaan bot laju dan pameran kereta Syarikat NBT.

Semua aktiviti sampingan itu nanti akan diadakan di kawasan dermaga bersebelahan dengan V Plaza dinamakan Fun Zone, manakala di kawasan zon jualan makanan di kawasan Tudung Saji dijangka akan berakhir setakat 26 April kerana memberikan laluan bagi Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria menyediakan gerai jualan untuk kedatangan bulan Ramadan nanti.

Pesta berkenaan, setakat ini, merupakan yang terbesar pernah diadakan di sini, yang dihasratkan sebagai penarik pengunjung ke daerah ini, selain untuk meningkatkan aktiviti ekonomi serta memberikan peluang berniaga kepada pengusaha kecil dan sederhana di daerah ini khususnya.

Hadir sama pada Majlis Perasmian Pesta Belait 2016 itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Lumut, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Haji Ahmad, Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman, penolong pegawai daerah, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung sertai pegawai-pegawai kanan jabatan kerajaan termasuk Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.

ARTIKEL YANG SAMA