Kenderaan lama masih dihargai

Kenderaan lama masih dihargai

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 20 Dis – Sebagai salah satu daripada acara hujung tahun, Persatuan Kenderaan Bermotor Nostalgik, hari ini, telah mengadakan perhimpunan hujung tahun 2015 bersama dengan ahli-ahli persatuan dan kelab-kelab kereta lama yang bertempat di Pantai Seri Kenangan, Daerah Tutong.

Yang Di-Pertua Persatuan Kenderaan Bermotor Nostalgik, Awang Mohammad Riff Rahimie bin Alipin ketika ditemu bual Media Permata menjelaskan tujuan acara perhimpunan ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli persatuan tersebut, di samping dapat bertukar pendapat dan menambah ilmu mengenai stok barang-barang kenderaan lama dengan ahli-ahli lainnya.

Menurut Awang Mohammad Riff Rahimie lagi, penjagaan kereta-kereta lama adalah amat sukar, memandangkan kereta-kereta nostalgik ini mudah berkarat dan boleh menyebabkan kereta tersebut rosak. Bagi menjaga kereta tersebut, ia perlu diperbaiki dan diberikan cat anti-karat bagi mencantikkan lagi warna kereta lama tersebut.

Beliau juga memberi nasihat kepada pemilik-pemilik kereta lama supaya mempunyai kesabaran dalam menjaganya kerana ia memerlukan pengubahsuaian dari pelbagai sudut.

Persatuan Kenderaan Bermotor Nostalgik ini sudah pun aktif sejak tahun 2012 dan kini mempunyai keahliannya lebih daripada 20 orang.

Antara ahli-ahli Persatuan Kenderaan Bermotor Nostalgik pada acara perhimpunan di Pantai Seri Kenangan.
Antara ahli-ahli Persatuan Kenderaan Bermotor Nostalgik pada acara perhimpunan di Pantai Seri Kenangan.
Antara Kereta-kereta lama yang menarik perhatian para pengunjung.
Antara Kereta-kereta lama yang menarik perhatian para pengunjung.

Salah seorang ahli persatuannya, Haji Massod bin Haji Mohd Salleh yang mempunyai kereta klasik mini modal 1971 memberitahu bahawa kereta yang digunakannya adalah bekas kepunyaan Allahyarham abangnya yang sudah pun lama ditinggalkan lebih 20 tahun. Daripada tidak digunakan, beliau mengambil alih dan memperbaikinya secara perlahan-lahan sehingga kereta tersebut berfungsi kembali.

Menurutnya, alat-alat ganti kereta tersebut boleh didapati di laman-laman web dengan harga yang tidak melebihi daripada $4,000.

“Kepada sesiapa yang memiliki kereta-kereta lama ini perlunya merasa bangga kerana kereta tersebut pada masa ini sukar dicari dan ianya perlu dijaga rapi,” ujarnya.

Beliau menjelaskan lagi, dengan mengikuti Persatuan Kenderaan Bermotor Nostalgik ini, mereka juga akan dapat informasi dan maklumat yang berkaitan dengan kenderaan lama.

Kira-kira 30 buah kereta lama seperti kereta jenis Mini Cooper, Datsun 510, Toyota Silica, Corrolla, dan banyak lagi telah menyertai perkumpulan tersebut.

Majlis perkumpulan tersebut juga diharap dapat menarik perhatian pengunjung-pengunjung Pantai Seri Kenangan yang berminat menyaksikan kereta-kereta nostalgik dan berkongsi maklumat-maklumat mengenai kenderaan-kenderaan lama.

Bagi mereka yang berminat untuk mengikuti persatuan tersebut dan mempunyai kereta yang sudah pun menjangkau usia lebih dari 25 tahun ke atas, mereka bolehlah menghubungi Yang Di-Pertua Persatuan Kenderaan Bermotor Nostalgik menerusi e-mel riff.rr9@gmail.com.

ARTIKEL YANG SAMA