Kenderaan perlu sembur ubat nyamuk

Kenderaan perlu sembur ubat nyamuk

JOHOR BAHRU, 2 Sept – Jabatan Kesihatan Johor bakal melaksanakan beberapa tindakan bagi menghadapi penularan jangkitan virus Zika termasuk mengeluarkan arahan agar orang ramai membuat semburan aerosol racun pembunuh nyamuk di dalam kenderaan masing-masing setiap kali keluar masuk Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata langkah itu diambil memandangkan peningkatan mendadak jangkitan virus tersebut di republik berkenaan, terutama Johor sering menjadi tumpuan kemasukan rakyat Singapura.

“Kenderaan dimaksudkan termasuk lori, bas awam, bas sekolah, kereta persendirian dan juga kereta api. Ini memastikan tidak ada nyamuk bervirus dibawa bersama dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ayub berkata pihak berkuasa tempatan dan pegawai-pegawai daerah juga diarah memfokuskan pembersihan di kawasan-kawasan sering dikunjungi warga Singapura termasuk tempat makan terbuka atau restoran, tempat-tempat rekreasi dan hiburan terbuka, pasar tani serta pasar borong.

Beliau berkata aktiviti pembersihan itu akan diketuai Setiausaha Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan hendaklah melibatkan agensi kerajaan, bukan kerajaan atau separuh kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Kawasan Rukun Tetangga, SWCorp, Rotary dan pasukan sukarelawan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI). – Bernama