Kenderaan rosak lebih had muatan

SINGAPURA, 9 Mac – Siasatan awal terhadap kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia yang rosak di pusat pemeriksaan Tuas mendapati kenderaan itu telah melebihi had muatan maksimum 37 tan, menurut Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA).

“Kenderaan itu membawa 40 tan kargo,” menurut ICA dalam catatan di laman Facebook.

ICA menyatakan pada 3 Mac lepas, lori (prime mover) sepanjang 16.5 meter itu rosak berdekatan balai ketibaan dan menyekat laluan di situ. “Bas dan kenderaan kargo yang memasuki Singapura pada awal pagi itu terpaksa mengalih laluan ke lorong kenderaan lain,” katanya.

Bagi tujuan keselamatan jalan raya dan mengelak pengguna lain berdepan kesulitan, ICA bersama-sama dengan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura menggesa syarikat pengangkutan untuk memastikan kenderaan mereka diservis secara berkala dan mematuhi had muatan dan saiz kenderaan mereka. – Bernama