Kenderaan Scarf Machine Aidijuma dilancarkan

Kenderaan Scarf Machine Aidijuma dilancarkan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Kaum hawa di negara ini terutama sekali penggemar tudung kini berpeluang menggayakan tudung jenama Aidijuma melalui Scarf Machine Aidijuma (trak bergerak) yang dilancarkan baru-baru ini di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Pengasas jenama Aidijuma, Datin Norjuma binti Habib Mohamed pada sidang media menjelaskan, scarf machine ini akan dapat dilihat di beberapa lokasi terpilih dengan menawarkan lebih 5,000 helai daripada pelbagai rekaan tudung bawal keluaran Aidijuma.

Beliau seterusnya menjelaskan, Scarf Machine dijangka boleh dilihat pada minggu depan di beberapa buah lokasi tempat awam yang menjadi lokasi perhentian.

Ini merupakan salah satu usaha mempromosi tudung berkenaan seterusnya untuk mendekatkan produk ini dengan masyarakat.

Ketika mengulas lanjut lagi mengenai pasaran tudung di negara ini, beliau menjelaskan pasaran jualan di negara ini sangat baik di mana ini boleh dilihat melalui beberapa ekspo hijab yang pernah disertainya di negara ini.

Scarf Machine Aidijuma yang akan menemui penggemar tudung bawal di tempat-tempat awam.
Scarf Machine Aidijuma yang akan menemui penggemar tudung bawal di tempat-tempat awam.
Datin Norjuma semasa sidang media pelancaran Scarf Machine Aidijuma.
Datin Norjuma semasa sidang media pelancaran Scarf Machine Aidijuma.

Beliau seterusnya menjelaskan, rekaan Aidijuma ini lebih universal di mana pada masa ini, ramai yang lebih menggemari rekaan polos dan rekaan terbaru bercorak dengan cetakan ceria juga diterima ramai.

“Pada masa akan datang, Aidijuma juga berhasrat untuk mempelbagaikan lagi produk jenama kami seperti pin, aksesori dan kerongsang di samping akan membuka satu cawangan lagi di Borneo,” tambahnya.

Majlis Pelancaran Scarf Machine Aidijuma itu turut dimeriahkan dengan Majlis Rumah Terbuka Aidijuma sempena Hari Raya Aidilfitri.

Produk utama keluaran Aidijuma ialah Square Scarf dan shawl dengan pelbagai kategori iaitu bawal scarf, satin scarf, cotton scarf dan cotton shawl.

Trak Scarf ini akan mengembara ke seluruh Brunei dan juga negara jiran khususnya Sarawak dan Sabah untuk melebarkan fenomena fesyen Aidijuma.

ARTIKEL YANG SAMA