‘Kendurian’ akrab hubungan

‘Kendurian’ akrab hubungan

SINGAPURA, 19 Ogos – “PM Najib tawarkan saya lebih banyak durian semasa jamuan tengah hari. Bagaimana saya hendak katakan tidak?”

Itu adalah kapsyen foto Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang dimuat naik di Facebook Lee pada 19 Julai.

Foto itu dirakamkan isterinya, Ho Ching semasa jamuan tengah hari yang dihoskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) di Putrajaya.

Durian telah membantu menjadikan hubungan Malaysia dan Singapura lebih akrab.

Susulan itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Datuk Ilango Karuppanan, baru-baru ini menganjurkan majlis ‘KENDURIAN Open House’ di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.

KENDURIAN adalah daripada kombinasi dua perkataan bahasa Melayu iaitu kenduri dan durian, katanya.

Kenduri durian itu diadakan untuk mengambil kesempatan atas minat yang sama terhadap raja buah itu untuk memupuk persahabatan dan meningkatkan jalinan antara Malaysia dan Singapura, kata Ilango.

Dalam ucapan alu-aluannya, Ilango dalam nada yang ceria menyifatkan majlis itu sebagai ‘diplomasi durian’.

Tetamu khas pada majlis itu Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura Masagos Zulkifli serta turut dihadiri pegawai Singapura serta individu terkemuka dari sektor swasta.

Malaysia mengeksport hampir 20 peratus produk agrimakanan ke Singapura, yang dianggarkan RM4 bilion setahun. – Bernama