Kenya paksa pelarian balik ke Somalia

Kenya paksa pelarian balik ke Somalia

NAIROBI, 10 Okt – Kenya telah mencabul undang-undang antarabangsa dengan memaksa penghuni kem pelarian terbesar di dunia untuk pulang ke Somalia, kata agensi bantuan hari ini.

Kenya menegaskan pengosongan Dadaab, tempat tinggal kepada ratusan ribu kebanyakan pelarian Somalia, sedang dilaksanakan sejajar dengan undang-undang antarabangsa tetapi Majlis Pelarian Norway (NRC) berkata hari ini “proses kepulangan suka rela itu tidak memenuhi standard antarabangsa.”

Ini bermakna Kenya mungkin bersalah di bawah undang-undang antarabangsa yang memaksa kepulangan pelarian atau pencari perlindungan.

“Tekanan untuk mendesak lebih daripada 280,000 pelarian berdaftar daripada kem Dadaab telah membawa kepada kepulangan yang tidak teratur dan kucar-kacir,” kata setiausaha agung NRC Jan Egeland.

“Daripada apa yang kami telah lihat di darat, ia tidak lagi bersifat suka rela, bermaruah atau selamat.”

Kerajaan mengumumkan pada Mei bahawa kem Dadaab di timur laut Kenya akan ditutup, memetik kebimbangan keselamatan.

Pihak berkuasa telah berkali-kali mendakwa kem tersebut adalah pusat penyebaran untuk keganasan Islam tetapi tidak memberikan bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

NRC berkata selain daripada sifat tidak terkawal kepulangan, situasi keselamatan di Somalia bermakna pelarian yang pulang tidak dijamin perlindungan sementara perkhidmatan asas di sana adalah tidak mencukupi.

“Jumlah penduduk Somalia yang merancang untuk pulang adalah jauh melebihi sumber yang ada untuk menyokong mereka di Somalia,” kata pengarah negara NRC Kenya Neil Turner.

Pelarian pulang ke sebuah negara yang telahpun mempunyai lebih satu juta orang yang kehilangan tempat tinggal mereka, di mana lima juta tidak mempunyai makanan yang cukup dan di mana tentera Afrika dan Somalia masih bertempur menentang militan Shabaab. – AFP