Kenyataan TMJ tidak berasas – FAM

Kenyataan TMJ tidak berasas – FAM

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyifatkan kenyataan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa badan induk itu gagal menangani gejala rasuah sebagai tidak berasas.

Menurut FAM dakwaan Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor itu tidak tepat kerana isu rasuah menjadi agenda penting sehingga diwujudkan Jawatankuasa Integriti FAM pada 2010 sebelum semua persatuan negeri diwajibkan menubuhkannya pada 2013.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jawatankuasa itu turut dianggotai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohmad Salleh; Ketua Penolong Pengarah Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap, Datuk Roslee Chik; dan Pengarah Bahagian Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Azam Baki.

“Jawatankuasa ini bertanggungjawab menapis, memeriksa pemain asing dan tempatan serta pegawai dalam Liga Malaysia (Liga-M) bagi menangani gejala tidak sihat seperti rasuah dan mengatur keputusan perlawanan, katanya dalam satu kenyataan.

Pada Isnin, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor yang dipetik agensi berita Reuters berkata beliau mahu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyiasat FAM kerana gagal menangani rasuah selain menyimpan pendapatan hasil perolehan di negara ini.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata FAM sudah menjalankan program penambahbaikan dalam aspek pentadbiran dan pengurusan termasuk kewangan dengan mengambil kira usaha mengoptimumkan peluang komersial yang juga merupakan intipati utama Program Prestasi FIFA.

“Program tiga tahun ini sudah dijalankan di FAM sejak tahun lepas dan juruaudit FIFA turut melawat FAM beberapa kali untuk menganalisis sistem operasi dan pengurusan kewangan bagi melihat penambahbaikan yang perlu diperbaiki.

“Maklum balas diterima menunjukkan mereka puas hati dengan segala aspek yang dinilai,” kata Hamidin sambil menegaskan FAM turut melantik juruaudit dalaman dan luar untuk memeriksa rekod kewangannya.

Wakil juruaudit FIFA itu terdiri daripada Perunding Program Prestasi FIFA (Laporan Kewangan), Anter Issac; Perunding Program Win-Win FIFA, Christophe Rousseau dan Pegawai Pembangunan FIFA (ERP & FIFA Connect), Sujit Manjuran.

“Andai apa yang dilakukan FAM tidak sesuai dengan amalan biasa, pasti FIFA sudah mengambil tindakan,” katanya. – Bernama