Kepakaran Jerman elak kepupusan badak

Kepakaran Jerman elak kepupusan badak

KOTA KINABALU, 24 Ogos (Bernama) – Sabah akan meminta kerjasama kumpulan pakar dari Institut Zoo dan Hidupan Liar Berlin, Jerman dalam usaha membiak baka badak Sumatra yang sedang diancam kepupusan.

Mengumumkan demikian, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah William Baya berkata, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan pakar tempatan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan MARDI.

Menjelaskan langkah pembiakan baka haiwan itu, beliau berkata program itu melibatkan tiga ekor badak yang kini dipelihara dalam kurungan di Sanktuari Badak Borneo di Tabin.

Bagaimanapun, William berkata, ketiga-tiga badak itu bukanlah dalam keadaan pembiak-bakaan terbaik.

Tam, badak jantan yang ditangkap pada 2008 mempunyai kiraan sperma rendah.

Sementara Puntung, katanya, badak betina ditangkap pada 2012 mempunyai sista ovari dan rahim; sedang Iman, seekor badak betina terakhir ditangkap pada 2014 di Lembah Danum, mempunyai tumor yang agak besar di dalam rahim yang menyebabkan kebarangkalian mengandung amat tipis, katanya.

William memberi penjelasan tersebut dalam satu kenyataan hari ini, sebagai mengulas kenyataan para saintis berhubung kepupusan badak Sumatra di hutan Malaysia.

Beliau berkata memandangkan keadaan binatang itu, pihaknya akan menggunakan Teknik Pembiakan Maju seperti Permanian Interselular untuk menghasilkan embrio.

Kerana itu, bantuan pakar dari dalam dan luar negeri diperlukan, katanya.

“Langkah seterusnya adalah mencari ibu tumpang untuk membawa embrio ini dan satu-satunya tempat lain untuk mencari ibu tumpang yang sihat mungkin Indonesia,” katanya.

Justeru, katanya, Malaysia dan Indonesia perlu menjalin kerjasama memastikan spesies badak itu dapat diselamatkan daripada kepupusan.

Beliau berkata terdapat minat terperbaharu dari pihak Indonesia apabila Malaysia mengetengahkan isu ini dalam mesyuarat Heart of Borneo (HoB) di Sandakan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, William turut menyatakan terdapat juga usaha untuk mengesan sekiranya masih terdapat haiwan berkenaan di hutan Sabah.

“Rakan konservasi Jabatan Hidupan Liar, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan Borneo Rhino Alliance (BORA) masih menghantar pasukan kecil untuk menjejaki badak di hutan namun sehingga kini belum berhasil,” katanya.