Kepelbagaian ekonomi perkukuh ketahanan

Kepelbagaian ekonomi perkukuh ketahanan

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) – Malaysia telah membina ketahanan melalui ekonomi yang pelbagai di samping mengurangkan pergantungan kepada komoditi serta mengimbangi impak kejatuhan harga minyak mentah.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, negara ini juga telah memperluas asas pendapatan melalui pengenalan cukai barang dan perkhidmatan pada April lalu yang menawarkan penampan kepada pendapatan kerajaan.

“Berlaku turun naik harga minyak global. Tetapi dengan peningkatan permintaan dalam jangka sederhana, kita melihat harga semakin naik. Tidak mungkin harga minyak jatuh di bawah US$40 setong,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Perbincangan Terus Terang Pengujian Perisian 2015 di sini, hari ini.

Minyak mentah penanda aras Brent susut 83 sen atau 1.7 peratus kepada US$48.73 setong pada Isnin.

Perangkaan perdagangan luar Malaysia bagi Jun menunjukkan penurunan 6.9 peratus dalam eksport tahun ke tahun kepada RM56.7 bilion. – Reuters
Perangkaan perdagangan luar Malaysia bagi Jun menunjukkan penurunan 6.9 peratus dalam eksport tahun ke tahun kepada RM56.7 bilion. – Reuters

Menurutnya, penggiat industri minyak dan gas digalak untuk mengukuh bagi mengekalkan operasi ketika tempoh harga minyak mentah yang rendah.

“Ini adalah sesuatu yang turut diperkatakan Petronas. Ketika kita mengukuhkan penggiat industri, anda melihat mereka beroperasi pada skala yang lebih baik, mereka telah mengurangkan kos agar mereka boleh bertahan ketika tempoh harga minyak rendah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Lembaga Pengujian Perisian Malaysia, Mastura Abu Samah berkata, forum itu memainkan peranan penting dalam membangunkan persekitaran eko-sistem kerja yang kukuh.

Bertemakan ‘Menjamin Kualiti Melalui Perkhidmatan IVV’, forum itu bertujuan mendapat maklum balas daripada pihak berkepentingan untuk memajukan lagi industri pengujian perisian di Malaysia. Forum dua hari itu dihadiri 200 peserta daripada industri pengujian perisisan, sektor kerajaan serta akademik.