Kepelbagaian sumber ekonomi diberi keutamaan

Kepelbagaian sumber ekonomi diberi keutamaan

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Dasar pempelbagaian aktiviti dan sumber ekonomi negara akan terus diberikan keutamaan dalam perancangan belanjawan kerajaan, yang mana salah satu fokus dalam Belanjawan Tahun Kewangan 2016/2017 adalah memudah cara perniagaan.

Fokus ini dihasratkan bagi mendokong dasar ‘Economic and Fiscal Sustainability’, terutama dengan keadaan ekonomi dan pasaran minyak dunia pada masa ini yang dijangka akan terus lemah bagi tempoh beberapa tahun akan datang. Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim berkata, tumpuan ini dijuruskan bagi mendokong aktiviti perniagaan dan pelaburan yang dapat menjana aktiviti ekonomi di negara ini dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan bagi belia-belia tempatan.

Menurutnya lagi, antara tumpuan utama di bawah kategori ini termasuklah menggiatkan lagi usaha untuk menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang berkualiti, dalam pelbagai Sektor Bukan Minyak dan Gas dan juga Sektor Hiliran; serta mempergiatkan lagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.

Yang Berhormat Pehin memberitahu bahawa beberapa usaha dan inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan setakat ini telah menghasilkan impak yang dihasratkan, antaranya dengan sokongan berterusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui beberapa inisiatif yang diterajui oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku peneraju dan Pengerusi Jawatankuasa Pandu PENGGERAK, kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam Indeks ‘Ease of Doing Business’ keluaran World Bank telah dapat dipertingkatkan.

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara mendengarkan penerangan daripada Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman.
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara mendengarkan penerangan daripada Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman.

pg01_160309_MMN-_Logo

Bagi Laporan Tahun 2016, Negara Brunei Darussalam telah memperolehi kenaikan sebanyak 21 anak tangga kepada kedudukan ke 84 berbanding tahun sebelumnya. Menurutnya, pencapaian ini juga menggambarkan hasil kerjasama dan usaha padu semua agensi-agensi kerajaan yang terlibat yang telah melaksanakan reformasi-reformasi yang telah ditetapkan berdasarkan beberapa sasaran atau KPI yang telah pun dipersetujui.

Reformasi ini melibatkan perubahan yang signifikan terhadap proses, peraturan dan perundangan bagi menambah baik persekitaran perniagaan dan pelaburan di negara ini. Manakala itu, menurut beliau lagi, dalam mendokong matlamat kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan asing yang mudah dan kompetitif peruntukan-peruntukan bersesuaian akan disediakan. Antaranya adalah pemeliharaan dan peningkatan infrastruktur tapak-tapak industri sebanyak $1.0 juta; $1.06 juta bagi mendokong perkembangan Sektor Pelancongan dan Perdagangan Negara; dan $10 juta dengan Harga Rancangan $30 juta bagi penyediaan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, boleh dipercayau dan berdaya tahan.

Selain itu, tambah beliau, dalam menyediakan rangkaian perkhidmatan pengangkutan bersepadu yang efisien dan selamat, kerajaan juga memperuntukkan sejumlah $89 juta dengan Harga Rancangan $612 juta bagi membiayai projek-projek pembinaan jalan-jalan dan pembinaan Jambatan Penghubung dari Sungai Kebun ke Jalan Residency, $38.6 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan Projek Jambatan Pulau Muara Besar, $300 juta juga disediakan bagi meneruskan pelaksanaan pembinaan Jambatan Penghubung Daerah Temburong dengan Daerah Brunei dan Muara.

Yang Berhormat Pehin berkata, projek-projek infrastruktur ini diharap akan dapat mendokong kegiatan perekonomian dengan memudah cara perniagaan, pelaburan dan pelancongan di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA