Kepentingan jalani ibadah puasa

Kepentingan jalani ibadah puasa

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 2 Jun – Sebagai usaha berterusan untuk menyampaikan pengetahuan kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan kaum wanita, akan kepentingan menjalani ibadah puasa, Majlis Ceramah Menjelang Ramadan telah diadakan di Masjid Zainab Kampung Lumut di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Bahagian Muslimah di Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Norainiyanti binti Haji Hussin.

Majlis yang dihadiri oleh kalangan jemaah Muslimah masjid di Daerah Belait itu bertujuan untuk memakmurkan masjid melalui aktiviti-aktiviti keagamaan, selain untuk mengeratkan ikatan silaturahim.

Dikendalikan buat pertama kali oleh ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Zainab Kampung Lumut bersempena kedatangan bulan Ramadan, majlis telah diisikan dengan ceramah yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama di Pusat Dakwah Islamiah, Dayang Norhayati binti Haji Abdul Rahman.

Majlis seperti itu dijangka akan diadakan lagi dari semasa ke semasa bagi menyebarkan lagi syiar Islam dengan menggunakan masjid sebagai pusat ilmu dan orang ramai khususnya dalam kalangan Muslimah supaya sentiasa memberikan sokongan dalam apa juga aktiviti masjid.