Kepentingan tali pinggang keledar

Kepentingan tali pinggang keledar

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 22 Okt – Dalam usaha mempromosikan keselamatan jalan raya dalam kalangan anak-anak syarikat, Syarikat Mashhor General Contractor Sdn Bhd (MGCSB) baru-baru ini telah mengadakan Pemeriksaan Pematuhan Tali Pinggang Keledar di sepanjang jalan masuk ke ibu pejabat MGCSB di Jalan Pangsa, Pekan Seria, di sini.

Pemeriksaan itu dilaksanakan dengan kerjasama anggota polis dari Balai Polis Seria yang diketuai oleh ASP Mohd Zulhelmi Azmi bin Dato Paduka Haji Abdul Aziz (OCS Seria) dan Jabatan Siasatan Kawalan Lalu lintas (JSKLL) yang diketuai oleh Ketua Unit Operasi Sj Abdul Rahman bin Haji Iring.

Melalui pemeriksaan tersebut, sebanyak 250 buah kenderaan diperiksa bermula dari jam 6:30 hingga ke jam 8:30 pagi tadi, untuk memastikan bahawa mereka mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan oleh syarikat dan memastikan kenderaan mereka dalam keadaan yang layak untuk dipandu di jalan raya dan tidak melanggar undang-undang lalu lintas.

Di samping itu, pemeriksaan juga dilaksanakan untuk memastikan tali pinggang keledar sentiasa dipakai oleh pemandu, mempunyai cukai jalan yang sah, lesen memandu yang sah dan lain-lain pematuhan keselamatan jalan raya.

Malai Haji Hamir ketika mengagihkan risalah kempen mempromosi keselamatan jalan raya.
Malai Haji Hamir ketika mengagihkan risalah kempen mempromosi keselamatan jalan raya.
Seorang pegawai polis memerhatikan pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah kenderaan di MGCSB, Seria.
Seorang pegawai polis memerhatikan pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah kenderaan di MGCSB, Seria.

Turut sama memeriksa kenderaan-kenderaan berkenaan ialah Pengarah Pembangunan Perniagaan, Malai Haji Hamir bin Malai Haji Mashhor; Pengurus Korporat bagi Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar, Awang Mohd Rizal bin Dr. Haji Abdul Latif dan dua orang kakitangan dari Syarikat Brunei Shell Petroleum (BSP) Sdn Bhd, Dayang Sandariah binti Abdullah dan Dayang Rauhah binti Alipudin.

Risalah mengenai kempen itu juga telah diedarkan kepada para pemandu untuk menyokong usaha negara mempromosikan keselamatan jalan raya di negara ini.

Awang Mohd Rizal menyatakan bahawa pemeriksaan keselamatan jalan raya akan dilaksanakan oleh syarikat itu sebanyak dua kali setahun dalam usaha untuk memeriksa tali pinggang keledar adalah selamat untuk dipakai dalam kalangan kakitangan apabila mereka tiba di pejabat pada waktu kerja.

ARTIKEL YANG SAMA