Kepercayaan kawan disalah guna

Kepercayaan kawan disalah guna

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_161017_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Seorang lelaki tempatan dijatuhi penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi, semalam, selepas disabitkan atas pertuduhan melakukan persetubuhan dan mencabul kehormatan dua adik-beradik lelaki, pada 2012.

Zainal Abidin bin Jahad, 57, bagaimanapun terlepas daripada menerima hukuman sebat atas faktor usia.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan keji itu sekali dengan mangsa A yang ketika itu berusia 12 tahun dan sebanyak tiga kali dengan mangsa B yang berusia 13 tahun ketika itu.

Dia melakukan kesalahan itu pada Jun 2012 di Daerah Belait.

Tertuduh yang mempunyai enam orang anak itu merupakan rakan kepada bapa mangsa.

Tertuduh dan mangsa sering bermain sepak takraw bersama.

Hakim Pengiran Datin Hajah Rostaina binti Pengiran Haji Duraman dalam menjatuhkan hukuman berkata, keluarga mangsa memberi kepercayaan kepada tertuduh malah dibenarkan untuk membawa mangsa keluar namun kepercayaan itu dikhianati tertuduh.

“Tertuduh jelas tidak menunjukkan sebarang kekesalan terhadap perbuatannya apabila mengaku tidak bersalah ketika pengakuannya direkodkan,” kata Hakim.

Perbuatan tertuduh itu terbongkar apabila guru sekolah mangsa merasakan ‘sesuatu yang tidak kena’ terhadap mangsa yang kemudiannya memberitahu mengenai kejadian itu.

Guru itu kemudian membuat laporan dan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Wanita dan Kanak-Kanak.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Haji Kamaluddin.

ARTIKEL YANG SAMA