Keperitan seorang balu

Keperitan seorang balu

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 14 Jun – Kerana kesempitan hidup, seorang balu, sudah lama tidak berpeluang menemui keluarga di negara asalnya dan setiap tahun, Aidilfitri hanya disambut bersama anak-anaknya tanpa ada apa-apa persiapan.

Dayang Siti Komariah Sujangi, 38, ibu kepada tiga orang anak yang tidak mempunyai pekerjaan, kini membesarkan anak-anaknya dengan hanya bergantung pada bantuan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Anak-anaknya yang berusia antara tiga hingga 15 tahun, merupakan anak yatim setelah ayah mereka meninggal pada bulan Disember 2012.

Bantuan yang diterima bagi persekolahan dua orang anaknya ialah sebanyak $130 tiap seorang, manakala bagi keperluan harian ialah $200 sebulan.

“Perbelanjaan dapur paling minima bagi keperluan kami sekeluarga sekurang-kurangnya $300 dan keperluan sekolah kadang-kadang juga tidak cukup terutama sekali bagi keperluan pakaian, kasut dan sebagainya, tetapi saya bersyukur, dengan adanya sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Dayang Siti Komariah, bersama anak bungsunya, berasa bersyukur atas sumbangan yang diberikan melalui Projek Amali BGC hari ini kepada mereka.
Dayang Siti Komariah, bersama anak bungsunya, berasa bersyukur atas sumbangan yang diberikan melalui Projek Amali BGC hari ini kepada mereka.

Keluarga tersebut kini tinggal di sebuah rumah usang peninggalan suaminya yang dibina di atas tanah TOL di Jalan Pantai Sungai Liang.

Rumah mereka itu dalam keadaan daif, dinding dan lantai sudah buruk, selain atap sudah bocor dan setiap kali hujan turun, air hujan akan membasahi seluruh lantai dalam rumah mereka dan hanya mampu ditutup dengan kanvas plastik

Menurut Dayang Siti Komariah, mereka tinggal di rumah itu sejak sembilan tahun lalu, malah pernah sekali jiran mereka membantu membaiki beranda yang sudah buruk dan tidak dapat dipijak lagi.

Rumahnya juga pernah dilawat oleh pihak tertentu tetapi sehingga kini belum ada tindakan untuk membantu membaik pulih rumah mereka, tambah beliau lagi.

Walaupun hidup dalam keadaan susah, Dayang Siti Komariah yang berasal dari Indonesia dan memegang kad pengenalan Unggu, masih berharap supaya anak-anaknya boleh belajar dengan baik dan mudah-mudahan dapat mengubah kehidupan mereka.

“Saya tiada punya keluarga di sini, untuk melawat keluarga di Indonesia memang saya tidak mampu, terakhir saya pergi bersama suami dan anak-anak masih kecil-kecil ialah pada tahun 2009, dan kini kadang-kadang jika telefon saya mempunyai cukup kredit barulah saya dapat menelefon keluarga di kampung,” jelasnya sambil mengesat air matanya.

Allahyarham suaminya yang mengalami sakit kencing manis dan pernah menjalani tiga kali pembedahan di bahagian kaki, meninggal dunia dalam satu kejadian kemalangan jalan raya empat tahun lalu dan semasa hayatnya beliau hanya bekerja sendiri untuk menampung kehidupan sekeluarga.

Anak sulung Dayang Siti Komariah, Awang Mohd Asmawi bin Busrah, 15, merupakan salah seorang penerima yang dipilih oleh Syarikat Brunei Gas Carrier (BGC) untuk mendapat bantuan berupa keperluan asasi melalui Projek Amali yang diadakan hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA