Keperluan anak yatim terus diberi perhatian

Keperluan anak yatim terus diberi perhatian

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 21 Jun – Lebih 800 orang anak-anak yatim di Daerah Tutong yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat telah menerima sumbangan derma pada majlis yang diadakan di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam. Juga hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, pegawai-pegawai kanan kerajaan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di daerah ini.

Sumbangan derma yang bertujuan untuk meringankan bebanan dan menampung perbelanjaan anak-anak yatim sempena menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri itu adalah daripada Tabung Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Tabung Kebajikan Anak-anak Yatim Daerah Tutong serta sumbangan daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Nazmi Textile Mall dan Hua Ho Department Store.

Haji Adnan menyampaikan hadiah kepada anak-anak yatim yang mendapat keputusan yang cemerlang.
Haji Adnan menyampaikan hadiah kepada anak-anak yatim yang mendapat keputusan yang cemerlang.
Antara anak-anak yatim yang menerima sumbangan derma pada majlis tersebut.
Antara anak-anak yatim yang menerima sumbangan derma pada majlis tersebut.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh penuntut Sekolah Ugama Lamunin, Dayang Adi Nurhanani binti Mohd Ali dan terjemahannya dibacakan oleh Guru Sekolah Ugama Lamunin, Hajah Balkis binti Haji Hussin.

Majlis diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah bagi ahli-ahli keluarga anak-anak yatim yang telah kembali ke rahmatullah dengan dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Zon 2 Daerah Tutong, Awang Aidil Sofian bin Mohd Yassin

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada anak-anak yatim yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan GCE ‘A’ Level, GCE ‘O’ Level, Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan Peperiksaan Sekolah Rendah Ugama bagi Daerah Tutong yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

ARTIKEL YANG SAMA