Kepialu merebak di kem Yarmouk

Kepialu merebak di kem Yarmouk

YARMOUK/LONDON, 20 Ogos – Demam kepialu merebak di kalangan penghuni kem pelarian Palestin Yarmouk di Syria, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam, sambil memberi amaran wabak penyakit itu akan berterusan jika bantuan perubatan lambat tiba ke kem berkenaan.

Sebanyak sebelas kes demam kepialu sudah disahkan oleh agensi pelarian Palestin PBB (UNRWA), yang mendapat akses kepada penghuni kem Yarmouk bagi kali pertama sejak Jun di Yalda, di mana ia menjalankan lebih 200 konsultasi perubatan.

Demam kepialu berjangkit melalui air minuman atau makanan yang tercemar dengan simptomnya adalah termasuk demam, rasa mual dan sakit perut. Jika tidak dirawat, penyakit berkenaan boleh menjurus kepada komplikasi di bahagian perut dan kepala.

“Keprihatinan kami ialah kes demam kepialu ini hanyalah mewakili sebahagian kecil kes, kerana ketiadaan perkhidmatan kesihatan dalam tempoh jangka panjang sudah pastinya akan memburukkan lagi keadaan sekali gus memberi laluan kepada wabak,” kata jurucakap UNWRA, Chris Gunnes.

“Situasi sekarang amat terdesak, dan pihak yang terbabit perlu segera bertindak sebelum terlambat,” Gunness memberitahu Thomson Reuters Foundation melalui telefon dari Baitulmaqdis.

Kem pelarian tersebut, yang dibina berhampiran Damsyik pada 1957 untuk menempatkan pelarian Palestin.

Para pejuang Negara Islam (IS) menyerang kem berkenaan pada April lepas tetapi kemudian berundur selepas menumpaskan musuh mereka, Aknaf al Maqdis, dan meninggalkan kumpulan Nusra yang ada kaitan dengan al-Qaeda sebagai pasukan terbesar di kem berkenaan.

Pertempuran di dalam dan sekitar kem menyebabkan kira-kira 18,000 pelarian, termasuk 3,500 kanak-kanak, tanpa makanan, air dan bekalan perubatan serta menyebabkan agensi bantuan menggesa pihak yang bertelagah membenarkan akses bagi bantuan dan pemindahan. – Reuters