Kepimpinan bermula daripada peringkat awal

Kepimpinan bermula daripada peringkat awal

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Bagi melahirkan seorang pemimpin masa depan yang berdisiplin dan berguna kepada masyarakat serta negara perlulah bermula daripada peringkat awal lagi seperti bak pepatah ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Sehubungan dengan itu, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Pengakap Tunas mengambil inisiatif untuk mengadakan latihan kemahiran bersepadu bagi mendapatkan Lencana Keahlian Pengakap sebanyak empat sesi bermula Januari hingga Mac.

Latihan kemahiran itu disertai oleh seramai 48 orang ahli Pengakap Tunas yang baru dari Pasukan Pengakap Tunas 1021 Sekolah Rendah Kampong Mata-Mata, Pasukan Pengakap Tunas 1066 Sekolah Stella, Pasukan Pengakap Tunas 1087 Sekolah Rendah Masin dan Pasukan Pengakap Tunas 1080 Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas (SR OKBI), Subok yang berlangsung di Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong.

Latihan bagi sesi Ujian Lencana Keahlian Pengakap telah dikendalikan oleh Pesuruhjaya Ibu Pejabat (Bahagian Pengakap Tunas), Skipper Hajah Noraini binti Haji Saidi dari SR OKBI Subok bersama Pesuruhjaya Ibu Pejabat (Bahagian Pengakap Perempuan), Skipper Hajah Nor Rahmat binti Sidin dari Sekolah Rendah Kampong Mata-Mata serta dibantu oleh pemimpin-pemimpin pasukan Pengakap Tunas yang lain.

Upacara Persetiaan Pengakap Tunas.
Upacara Persetiaan Pengakap Tunas.

Ahli-ahli Pengakap Tunas baru berkenaan yang terdiri daripada pelajar Tahun 2 hingga 4 diberikan latihan untuk melafazkan Persetiaan Pengakap, memahami Undang-Undang Pengakap, latihan memberi hormat pengakap, membuat Istiadat Laung Agong, nyanyian lagu-lagu pengakap, mempelajari enam jenis ikatan dan simpulan pengakap serta melawat galeri pengakap bagi mengenali sejarah pergerakan pengakap sepanjang 83 tahun ia ditubuhkan di Negara Brunei Darussalam dan 109 tahun pergerakan Pengakap Sedunia.

Semasa majlis penyampaian Lencana Keahlian Pengakap, ahli-ahli Pengakap Tunas yang lulus telah menerima lencana mereka yang disampaikan oleh pemimpin pasukan Pengakap Tunas masing-masing.

Menurut Skipper Hajah Noraini, pelbagai kegiatan yang menarik telah dirancang sepanjang 2016 termasuk kegiatan pengakap terbesar bagi 2016 yang akan berlangsung dari 18 hingga 23 Mac nanti iaitu Jambori Pengakap Tunas kali ke-4 sempena sambutan 100 Tahun Pengakap Tunas Sedunia dengan kerjasama bersama Jabatan Pendidikan Kokurikulum,Kementerian Pendidikan.

Ia akan diadakan di kawasan Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap Kebangsaan, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong.

Jambori selama enam hari itu bukan sahaja akan disertai oleh pengakap-pengakap dari dalam negara tetapi juga pasukan pengakap luar negara iaitu dari Persekutuan Pengakap Malaysia cawangan Negeri Sabah, Negeri Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Negeri Terengganu Darul Iman, Negeri Perak Darul Ridzuan, Negeri Selangor Darul Ehsan dan Negeri Johor Darul Takzim.

Ia dijangka akan disertai oleh lebih daripada 500 orang ahli Pengakap Tunas di mana jambori berkenaan dijadualkan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman pada 20 Mac nanti.

ARTIKEL YANG SAMA