Kepimpinan Mukhriz ditolak

Kepimpinan Mukhriz ditolak

ALOR SETAR, 20 Jan – Hampir seluruh kepimpinan UMNO Kedah telah menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan demikian selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan hampir kesemua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Parlimen negeri ini daripada UMNO, di sini hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan itu ketua-ketua sayap Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO negeri.

Ketika membacakan kenyataan dua muka surat itu, Ahmad Bashah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertindak segera untuk menyelesaikan kemelut itu.

“Kami mohon Perdana Menteri agar segera melakukan perubahan terhadap kepimpinan UMNO Kedah demi kelangsungan UMNO Negeri.

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (dua, kiri) ketika sidang media selepas pertemuan tertutup dengan hampir kesemua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Parlimen negeri ini di sebuah hotel. - Bernama
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (dua, kiri) ketika sidang media selepas pertemuan tertutup dengan hampir kesemua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Parlimen negeri ini di sebuah hotel. – Bernama

“Perdana Menteri diminta supaya mengambil tindakan menggugurkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah memandangkan rakyat sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan beliau,” katanya.

Ahmad Bashah berkata semenjak Mukhriz dilantik sebagai menteri besar sehingga hari ini telah berlaku banyak masalah termasuk tidak pernah memberikan sokongan terhadap presiden parti dan memberikan pandangan-pandangan yang mengelirukan rakyat negeri ini.

Katanya Mukhriz juga gagal membuat perancangan dan persiapan parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang yang semakin hampir.

“Sebab itu, kita melihat beliau tidak mempunyai kepimpinan dan sebagai Menteri Besar Kedah, beliau juga gagal untuk urus tadbir kerajaan negeri.

“Disebabkan itu, kami berhimpun untuk merayu dan membuat permohonan kepada Perdana Menteri untuk menukar Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Kedah,” kata Ahmad Bashah.

Beliau berkata tindakan segera itu perlu diambil demi menjaga parti dan rakyat negeri ini.

“Bagaimanapun kita akan menyokong sebarang keputusan yang akan diambil oleh Perdana Menteri,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA