Kepimpinan sebagai amanah

Kepimpinan sebagai amanah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Dalam konteks kepimpinan sebuah universiti, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) merupakan barisan hadapan kepimpinan dalam kalangan pelajar yang sentiasa bersiap sedia dengan keyakinan mental dan keteguhan rohani memimpin organisasi pelajar dalam institusi tempat pengajiannya.

Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Hajah Masnon binti Haji Ibrahim menambah, mereka berperanan sebagai model insan kepada pelajar lain untuk memacu hal ehwal sosial dan jati diri pelajar khususnya dalam menjaga nama baik universiti bahkan sebenarnya menjaga kehormatan agama itu sendiri.

Di samping itu, mereka hendaklah bersedia menerima cabaran untuk membentuk sebuah komuniti cendekiawan yang bukan sahaja kuat dan cerdas dari segi fizikal dan mindanya bahkan yang lebih utama ialah hebat dan kental kerohanian dan keimanannya.

Beliau menekankan peranan MPP ini ketika menyampaikan ucapan di Majlis Apresiasi dan Penutup Kursus MPP Sesi 2015/16 KUPU SB yang berlangsung di Restoran Aneka Rasa, Kiulap.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyeru para pelajar supaya bersolat kerana kewajipan sendiri dan menjaga solat untuk ketenangan dan ketenteraman jiwa khusyuk kerana Allah SWT, di samping berdoa serta mendoakan para pelajar KUPU SB yang lain agar mereka tetap iltizam jiwanya dalam menunaikan solat.

Dr. Hajah Masnon ketika memberikan ucapan.
Dr. Hajah Masnon ketika memberikan ucapan.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama Majlis Perwakilan Pelajar KUPU SB sesi 2015/2016.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama Majlis Perwakilan Pelajar KUPU SB sesi 2015/2016.

Menyentuh tentang pakaian, beliau menyeru pelajar lelaki untuk menutup kepala mereka mengikut sunah Rasulullah SAW dan sebagai kawalan emosi dan iman serta praktik contoh teladan pelajar institut pengajian tinggi ugama.

“Pemimpin adalah mereka yang berwibawa, berketerampilan, berdaya tahan dan berkarisma. Di dalam Islam, menjadi pemimpin bukanlah suatu kedudukan memberi keistimewaan duniawi atau perlu menjadi rebutan atau pilihan.

“Ia bukan suatu kemegahan atau kebesaran, bahkan ia suatu taklik (kebertanggungjawaban dan amanah),” tegas beliau.

Pada majlis itu, beliau menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah kepada ahli-ahli MPP sesi 2014-2015, diikuti dengan penyampaian sijil kepada ahli-ahli MPP sesi 2015/2016 yang telah berjaya menamatkan kursus kepimpinan.

Majlis petang tadi diadakan untuk menjana kepelbagaian strategi pengurusan pelbagai aktiviti pelajar yang menjurus kepada kesempurnaan dan kecemerlangan kerja dengan kualiti di samping memberikan kecekapan dan keberkesanan dalam organisasi.

Ia turut mewujudkan mahasiswa yang bekerjasama dan bertoleransi dalam berpasukan dan bersatu padu dalam apa jua keadaan.

ARTIKEL YANG SAMA