Keputusan cukai Apple tidak menentang AS

Keputusan cukai Apple tidak menentang AS

HANGZHOU, China, 4 Sept – Keputusan pihak berkuasa Eropah untuk mengenakan bayaran besar untuk cukai tunggakan ke atas Apple bukan satu keputusan “menentang Amerika Syarikat,” kata ketua Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker hari ini tatkala pemimpin dunia berkumpul di China untuk menghadiri satu sidang kemuncak ekonomi.

Permintaan bayaran berjumlah 13 bilion euro daripada syarikat elektronik Amerika itu telah menimbulkan kemarahan di AS, dengan Rumah Putih mengutuk apa yang digambarnya sebagai pendekatan “satu pihak” untuk menulis semula norma-norma percukaian global.

Bercakap kepada wartawan sebelum sidang kemuncak pemimpin Kumpulan G20 di Hangzhou, Juncker berkata keputusan bukan mensasarkan AS.

Brussels berkata Apple, syarikat paling bernilai di dunia, mengelak semua cukai ke atas perniagaannya di blok dengan mengadakan pengaturan tidak sah dengan anggota EU Ireland, yang memberikan syarikat tersebut kelebihan yang tidak adil berbanding pesaingnya.

Gambar fail bertarikh 7 Disember 2011 menunjukkan seseorang berdiri berhampiran logo Apple di syarikat itu di Grand Central Terminal, di New York. – AP
Gambar fail bertarikh 7 Disember 2011 menunjukkan seseorang berdiri berhampiran logo Apple di syarikat itu di Grand Central Terminal, di New York. – AP

Apple dan kerajaan Ireland berkata mereka akan merayu terhadap keputusan Suruhanjaya Eropah, dengan pengeluar iPhone mengingatkan ia mungkin menjejas pekerjaan warga Eropah.

Ireland telah menarik multinasional bertahun-tahun lamanya dengan menawarkan perjanjian cukai yang menguntungkan untuk mewujudkan pekerjaan dan pelaburan yang amat diperlukan.

Namun selepas siasatan selama tiga tahun, Brussels berkata pengaturan dengan Apple melanggar undang-undang EU mengenai bantuan kerajaan.

Hasil dapatan itu keluar di tengah ketegangan yang meningkat di antara Washington dan Brussels mengenai beberapa siri siasatan pecah amanah EU yang mensasarkan syarikat gergasi AS seperti Google, Amazon, McDonald’s, Starbucks dan Fiat Chrysler. – AFP