Keputusan GCE ‘A’ & ‘AS’ Level meningkat

Keputusan GCE ‘A’ & ‘AS’ Level meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan hari ini telah mengeluarkan keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘A’ dan ‘AS’ Level November 2015 dengan keputusan kedua-dua peperiksaan menunjukkan peningkatan.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, daripada 2,421orang calon yang menduduki Peperiksaan ‘A’ Level, seramai 2,131 atau 88.02% mendapat sekurang-kurangnya 1 ‘A’ Level dengan peningkatan sebanyak 2.04% daripada November 2014.

Pada keseluruhannya peratus calon yang memperolehi sekurang-kurang 2 ‘A’ Level adalah 75.46% di mana pencapaian calon sekolah adalah 84.34% dengan peningkatan sebanyak 2.15%, manakala itu, prestasi calon persendirian adalah sebanyak 14.33%.

Pencapaian calon sekolah yang memperolehi sekurang-kurangnya 3 ‘A’ Level, adalah seramai 1,350 calon atau 63.86% berjaya memperolehinya dengan peningkatan sebanyak 3.75% berbanding dengan pencapaian calon dalam peperiksaan Oktober/November 2014.

Di samping itu, seramai 169 orang calon (7.99%) daripada calon-calon sekolah mendapat gred A dalam dua hingga lima mata pelajaran dengan peningkatan sebanyak 0.49% berbanding tahun 2014.

Sementara itu, daripada 1,467 orang calon yang menduduki Peperiksaan ‘AS’ Level, 1,366 atau 93.12% telah berjaya memperolehi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran ‘AS’ Level dengan peningkatan sebanyak 4.18% daripada November 2014.

Peratus calon yang memperolehi sekurang-kurangnya 2 ‘AS’ level adalah 997 orang calon atau 67.96% dan pencapaian calon sekolah adalah 68.01% dengan peningkatan sebanyak 5.31% daripada November 2014.

Di samping itu juga, seramai 82 orang calon (5.59%) berjaya mendapat gred ’A’ dalam dua hingga lima mata pelajaran dengan menunjukkan peningkatan sebanyak 1.16% berbanding dengan November 2014.

Sehubungan itu, penuntut-penuntut yang mengambil peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai esok (28 Januari 2016), manakala calon-calon persendirian dikehendaki mengambil slip keputusan mereka di Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat dibuka.

ARTIKEL YANG SAMA