Keputusan IGCSE Jun keluar

Keputusan IGCSE Jun keluar

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, telah mengeluarkan keputusan Peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘A’, ‘AS’ dan ‘O’ Level Jun 2015, hari ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, daripada 356 orang calon yang menduduki peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘A’ Level, seramai 222 atau 62.36 peratus mendapat sekurang-kurangnya 1 ‘A’ Level, dan 29.49 peratus memperolehi sekurang-kurangnya 2 ‘A’ Level dengan pencapaian calon sekolah 38.13 peratus manakala prestasi calon persendirian sebanyak 22.45 peratus.

Bagi peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘AS’ Level pula, daripada 2,032 orang calon, seramai 1,806 atau 88.88 peratus telah berjaya memperolehi sekurang-kurangnya 1 mata pelajaran ‘AS’ Level.

Calon yang memperoleh sekurang-kurang nya 2 ‘AS’ Level ialah seramai 1,426 atau 70.18 peratus dan pencapaian calon sekolah 70.66 peratus dengan peningkatan sebanyak 0.43 peratus daripada Jun 2014.

Sementara itu, bagi peperiksaan Brunei-Cambridge G.C.E. ‘O’ Level, seramai 724 calon atau 32.26 peratus daripada 2,244 calon (tidak termasuk yang menduduki satu atau dua mata pelajaran) mendapat sekurang-kurangnya 3 ‘O’ Level dengan peningkatan sebanyak 2.50 peratus.

Pencapaian calon sekolah sebanyak 37.85 peratus, ini termasuk calon sekolah-sekolah kerajaan sebanyak 37.23 peratus dengan peningkatan sebanyak 4.06 peratus.

Seramai 334 orang calon atau 14.88 peratus pula mendapat sekurang-kurangnya 4 ‘O’ Level, manakala pencapaian calon sekolah sebanyak 17.64 peratus ini termasuk calon sekolah-sekolah kerajaan sebanyak 18.31 peratus dengan peningkatan sebanyak 0.83 peratus.

Pada keseluruhannya peratus calon yang memperolehi 5 ‘O’ level dan ke atas adalah seramai 150 orang calon atau 6.68 peratus, yang mana pencapaian calon sekolah adalah 7.94 peratus dengan peningkatan sebanyak 0.04 peratus, manakala calon yang mendapat 8 atau 9 ‘O’ level adalah sebanyak 0.69 peratus.

Sehubungan ini, penuntut-penuntut yang mengambil peperiksaan berkenaan bolehlah mendapatkan slip keputusan mereka di sekolah masing-masing, manakala calon-calon persendirian dikehendaki mengambil slip keputusan mereka di Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat dibuka.

ARTIKEL YANG SAMA