Keputusan kes rayuan dalam masa terdekat

Keputusan kes rayuan dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) akan menyelesaikan rayuan kes doping jaguh bina badan Malaysia, Sazali Samad dalam masa terdekat.

Setiausahanya Kamaruzaman Kadir berkata Jawatankuasa Rayuan PBBM akan mengadakan persidangan pertama dalam masa beberapa hari lagi mengenai rayuan Sazali untuk mengurangkan tempoh penggantungan selama empat tahun itu.

“Saya telah menghantar surat yang mengandungi maklumat terperinci kes ini kepada mereka (Jawatankuasa Rayuan) pada Sabtu lepas. Saya tidak pasti bila jawatankuasa tersebut akan berlangsung, tapi dalam masa terdekat…Mungkin dalam dua atau tiga hari lagi.

“Sehingga semalam, saya belum menerima apa-apa perkembangan. Mereka akan memaklumkan kepada saya bila mereka hendak buat persidangan pertama. Buat masa ini, tak tahu lagi siapa ahli jawatankuasa rayuan itu, dalam persidangan pertama baru akan dilantik,” katanya ketika dihubungi Bernama, pada Rabu.

Jawatankuasa Disiplin (Tatatertib dan Antidoping) PBBM pada 21 Dis menjatuhi hukuman penggantungan selama empat tahun kepada Sazali selepas gagal dalam ujian doping di luar pertandingan yang dijalankan oleh Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 Sept lepas, sebelum menyertai Kejohanan Bina Badan Asia ke-49 di Tashkent, Uzbekistan dari 29 Sept-5 Okt.

Pemenang gelaran Mr Universe sebanyak 10 kali itu didapati positif mengambil bahan terlarang Kelas S1 (Steroid), telah mengemukakan rayuan bagi mengurangkan hukuman itu pada 8 Jan lepas kepada PBBM atas alasan bahan terlarang itu mungkin terkandung dalam suplemen yang diambil ketika berada di Amerika Syarikat tanpa sengaja.

Kamaruzaman tidak menolak kemungkinan bahawa atlet berusia 48 tahun itu akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Rayuan sekiranya jawatankuasa tersebut memerlukan.

“Apa-apa pun keputusan mengenai isu ini dan bila mereka (jawatankuasa) akan mengumumkan keputusan ini bergantung kepada mereka dan saya tidak mahu membuat andaian. Namun, kes ini akan diselesaikan tidak lama lagi,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA