Keputusan kuiz diumum esok

Keputusan kuiz diumum esok

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Bersempena dengan Hari AIDS Sedunia, yang diraikan setiap 1 Disember, Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) bersama-sama Brunei Press Sdn Bhd, baru-baru ini telah menganjurkan kuiz kesedaran mingguan HIV/AIDS dengan sokongan daripada The Body Shop Brunei.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPMC, hari ini, sebanyak 10 soalan berkaitan dengan HIV/AIDS termasuk simptom dan bagaimana seseorang boleh dijangkiti telah diketengahkan dalam kuiz berkenaan.

Seramai 10 orang pemenang telah dipilih secara rambang daripada ratusan penyertaan yang diterima di mana cabutan bertuah bagi para pemenang dibuat oleh Timbalan Pengurus Besar Brunei Press, Dayang Hazizah binti Osman yang diikuti oleh Eksekutif Pemasaran JPMC, Dayang Aini binti Asbinin.

Menurut kenyataan itu lagi, nama-nama pemenang yang bertuah akan diumumkan dalam akhbar Borneo Bulletin keluaran Rabu di mana para pemenang akan menerima hadiah tajaan bersama JPMC dan The Body Shop Brunei.

Antara ratusan penyertaan yang diterima pihak penganjur.
Antara ratusan penyertaan yang diterima pihak penganjur.

Pemenang-pemenang kuiz berkenaan adalah dialu-alukan untuk menghadiri majlis penyampaian hadiah yang akan diadakan di Bilik CME, Tingkat 1, JPMC pukul 2:30 petang pada 11 Disember nanti.

Para pemenang adalah dikehendaki untuk membawa bersama kad pengenalan masing-masing untuk menebus hadiah-hadiah mereka.

Kempen kesedaran itu merupakan salah satu inisiatif JPMC dengan kerjasama Brunei Press Sdn Bhd, Borneo Bulletin, Media Permata dan The Body Shop Brunei untuk menyokong kempen Hari AIDS Sedunia.

Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi talian 2611433 sambungan 2882 atau e-mel ke alamat marketing@jpmc.com.bn.

ARTIKEL YANG SAMA