Keputusan Morsi tangguh 16 Jun ini

Keputusan Morsi tangguh 16 Jun ini

KAHERAH, 2 Jun (AFP) – Sebuah mahkamah Mesir hari ini menangguhkan keputusan akhirnya ke atas bekas presiden Mohamed Morsi, yang dijatuhi hukuman mati bersama berbelas-belas orang lagi berhubung insiden melarikan diri dari penjara secara beramai-ramai ketika kebangkitan pada 2011.

Mahkamah berkata bahawa pada 16 Jun ia juga akan mengumumkan keputusannya ke atas Morsi dan 18 defendan yang lain dalam kes berasingan membabitkan pengintipan.

Pada 16 Mei, Morsi dan lebih 100 yang lain dijatuhi hukuman mati selepas disabitkan berkomplot dalam insiden melarikan diri dari penjara dan serangan ke atas polis ketika kebangkitan lebih empat tahun lepas yang menyingkirkan presiden Hosni Mubarak.

Hukuman mati tersebut dirujuk kepada mufti, penterjemah undang-undang Islam kerajaan yang memainkan peranan sebagai penasihat, dan keputusan akhir dijadualkan pada hari ini.

Hakim Shabaan El-Shamy berkata keputusan akhir dalam kes melarikan diri dari penjara kini akan dibuat dalam tempoh dua minggu lagi.

Aksi bekas presiden Mesir Mohamed Morsi ketika dalam kurungan defendan di mahkamah yang ditempatkan di Akademi Polis di pinggir ibu negara Kaherah pada 2 Jun 2015. – AFP
Aksi bekas presiden Mesir Mohamed Morsi ketika dalam kurungan defendan di mahkamah yang ditempatkan di Akademi Polis di pinggir ibu negara Kaherah pada 2 Jun 2015. – AFP

“Keputusan akhir ialah pada 16 Jun kerana mahkamah terpaksa menyelesaikan pertimbangan berhati-hatinya mengenai nasihat dan pandangan mufti yang hanya diterima pagi ini,” kata Shamy hari ini. Bagaimanapun, keputusan akhir mahkamah masih boleh dikemukakan rayuan.

Morsi, yang berada di kamar kurungan defendan memakai seragam biru pesalah selepas dijatuhi dalam kes lain sehingga 20 tahun penjara kerana mencetuskan keganasan, kelihatan mengangkat tangannya sebelum diiringi keluar dari kamar mahkamah, lapor wartawan AFP.

Dipilih sebagai presiden pada 2012 selepas kemenangan Pertubuhan Ikhwanul Muslimin, Morsi memerintah hanya selama setahun sebelum bantahan besar-besaran menyebabkan tentera menyingkirkan beliau pada Julai 2013.

ARTIKEL YANG SAMA