Keputusan PBBM perlu disegerakan

Keputusan PBBM perlu disegerakan

SUBANG, 17 Jan – Jaguh bina badan Malaysia, Sazali Samad yang digantung empat tahun selepas gagal ujian doping berharap Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) membuat keputusan segera berhubung rayuan yang dikemukakannya.

Menurut Mr Universe 10 kali yang sudah mencecah usia 49 tahun itu, keputusan segera amat penting bagi membolehkan dirinya membuat perancangan, apatah lagi, dia masih sayangkan sukan berkenaan yang mula diceburinya sejak tahun 1989.

“Selepas surat rayuan rasmi diserahkan kepada persatuan Jumaat minggu lalu, saya masih belum dimaklumkan sebarang perkembangan mengenainya. Jadi, saya harap rayuan saya itu dapat diteliti PBBM sekali gus membuat keputusan mengenainya secepat mungkin.

“Jika rayuan saya diterima dan hukuman gantung empat tahun dikurangkan kepada satu tahun, mungkin saya dapat bertanding di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Lagipun, saya yakin mesti ramai nak lihat kemunculan Sazali Samad, apatah lagi di laman sendiri,” katanya pada sesi perjumpaan bersama peminat dekat sini, semalam. Sazali digantung empat tahun selepas didapati positif steroid dalam ujian doping yang dijalankan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September lalu. Hukuman itu berkuat kuasa 22 September 2015, iaitu tarikh keputusan ujian berkenaan diketahui.

Sementara itu, Timbalan Presiden PBBM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Disiplin badan induk itu, Datuk Dr Ahmad Badrus Othman memberi jaminan akan meneliti rayuan yang dikemukakan Sazali secepat mungkin.

“Kita akan mengadakan satu mesyuarat bersama Jawatankuasa Rayuan bagi meneliti kes ini kerana jawatankuasa ini sudah ada yang dipengerusikan Datuk Wira Masood Zainal Abidin (Naib Presiden PBBM).

“Jika kes ini mempunyai sebab yang boleh dikurangkan hukumannya, kita akan buat permohonan kepada MSN untuk dimaklumkan kepada ADAMAS,” katanya. – BH