Keputusan peperiksaan agama melalui SMS

Keputusan peperiksaan agama melalui SMS

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Calon peperiksaan awam persekolahan Arab dan agama di bawah kawalan Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei (LPPUB) akan mempunyai pilihan menerima keputusan peperiksaan apabila perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) diperkenalkan.

Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam (JPI) selaku Urus Setia LPPUB dan Bahagian Teknologi Maklumat, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) akan memperkenalkan dan melaksanakan perkhidmatan ini sebagai tambahan kepada perkhidmatan yang sedia ada.

Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Bahagian Peperiksaan, JPI, KHEU selaku Setiausaha LPPUB, Haji Shamsol bin Haji Omar semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Multaqa, KHEU petang tadi.

Beliau menjelaskan, usaha ini merupakan kolaborasi bersama DST Communications Sdn Bhd (DSTCom) sebagai penyedia perkhidmatan telefon mudah alih dan Mach Telecommunications Systems Sdn Bhd (MachTel) sebagai pembekal kandungan dan fasilitator teknikal bagi perkhidmatan ini.

Pelaksanaan perkhidmatan SMS ini bertujuan untuk memudahkan setiap calon yang mengikuti peperiksaan di bawah kawalan LPPUB, KHEU untuk mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing melalui SMS dengan penghantaran keputusan yang lebih terjamin dan selamat. Ia turut memelihara kerahsiaan keputusan peperiksaan calon-calon daripada penyebaran secara terbuka sama ada melalui aplikasi WhatsApp, Facebook dan sebagainya, tambah beliau.

Perkhidmatan ini nanti akan dapat digunakan untuk keputusan peperiksaan-peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB), Pra-sijil Tinggi Pelajaran Ugama Seri Begawan (Pra-STPUB), Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB), Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (Darjah VI) – (SSRU) dan Pemilihan Calon ke Sekolah Arab (PCKSA).

Manakala itu, bagi perkhidmatan keputusan Peperiksaan SSRU, ibu bapa atau penjaga calon yang ingin melanggan perkhidmatan ini dikehendaki mendaftar terlebih dahulu sama ada secara online atau melalui perkhidmatan SMS menggunakan telefon bimbit.

Menurut beliau, pendaftaran secara online boleh dibuat menerusi laman sesawang Kementerian Hal Ehwal Ugama iaitu www.kheu.gov.bn dan klik tajuk pautan pengumuman pendaftaran SMS dan mengisi laman borang pendaftaran. Bagi pendaftaran melalui perkhidmatan SMS, hendaklah menaip KHEU [jarak] REG [jarak] NOMBOR PUSAT PEPERIKSAAN [jarak] NOMBOR INDEKS CALON dan hantar ke 8885555 bagi pelanggan DST.

Pendaftaran yang berjaya akan dimaklumkan melalui SMS tanpa sebarang kos dan pendaftaran akan bermula pada 19 Februari 2016. Keputusan peperiksaan SMS ini hanya akan dihantar kepada pelanggan yang berdaftar setelah keputusan peperiksaan dikeluarkan dan pelanggan akan dikenakan caj bayaran sebanyak $1 bagi setiap keputusan peperiksaan SMS yang diterima.

ARTIKEL YANG SAMA