Keputusan p’raya negeri tentukan hala tuju Sarawak

Keputusan p’raya negeri tentukan hala tuju Sarawak

PADAWAN, 10 April (Bernama) – Keputusan pilihan raya negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi akan menentukan hala tuju dan masa depan Sarawak, kata Menteri Muda Kesihatan Awam negeri Datuk Dr Jerip Susil.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya tidak membuat silap sebaliknya bersatu dengan memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) Sarawak yang diterajui Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem pada pilihan raya itu.

“Ketua Menteri memerlukan mandat yang besar untuk memperjuangkan hak negeri ini dan rakyat,” katanya semasa berucap pada majlis perpaduan di Kampung Braang Bayur, kira-kira 46 kilometer dari Kuching, malam tadi.

Beliau berkata selepas dua tahun menjadi Ketua Menteri, Adenan membuat 51 dasar dan keputusan yang menguntungkan rakyat dan negeri ini.

Dalam pada itu, Dr Jerip berkata beliau akan berusaha meningkatkan perpaduan dan kemajuan untuk rakyat Sarawak, seperti yang dilakukannya sejak 15 tahun lepas sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh. Baru-baru ini, Adenan mengumumkan Dr Jerip sebagai calon langsung BN bagi kerusi DUN Mambong.