Keputusan rekod Badrul sebelum Rabu depan

Keputusan rekod Badrul sebelum Rabu depan

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Keputusan muktamad berhubung rekod 100m Malaysia 10.29 saat yang dicipta pelari muda Badrul Hisyam Manap bakal diketahui sebelum Rabu depan.

Presiden Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) Datuk Karim Ibrahim berkata keputusan untuk mengesahkan rekod dilakukan Badrul pada temasya Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) di Brunei pada 23 Nov lepas itu, akan diketahui selepas Mesyuarat Tergempar Majlis MAF.

Karim berkata beliau akan membentangkan laporan daripada Persekutuan Olahraga Brunei (BAF) serta Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) diterimanya hari ini, selain laporan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MAF yang diadakan di Pulau Pinang 10 Jan lepas, untuk majlis itu membuat keputusan mengenai isu tersebut.

“Laporan BAF itu disertakan dengan laporan daripada IAAF yang merangkumi semua penjelasan daripada kedua-dua pihak. Kelewatan oleh BAF disebabkan oleh IAAF kerana persekutuan itu hanya membalas e-mel kepada mereka pada 17 Jan.

“Saya akan memanggil Mesyuarat Tergempar Majlis MAF pada Selasa atau Rabu kerana masing-masing sedang sibuk dengan sambutan Thaipusam. Saya serahkan kepada majlis membuat keputusan berhubung isu berkenaan, selepas saya membentangkan laporan-laporan tersebut,” kata Karim kepada Bernama hari ini.

Karim berkata mesyuarat bakal dipengerusikan beliau itu terdiri dari 30 atau lebih pakar teknikal, akan memberi penyelesaian terbaik berhubung isu yang belum selesai sejak November itu, dengan mengambil contoh digunakan negara lain berdasarkan situasi sama. – Bernama