Keracunan karbon monoksida punca kematian

Keracunan karbon monoksida punca kematian

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Kematian sepasang suami isteri berserta seorang ahli keluarga yang mana mayat mereka ditemui di Berek Kelamin Balai Polis Muara, pada 29 Ogos lalu telah disahkan disebabkan oleh keracunan karbon monoksida berikutan bedah siasat di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Sehubungan dengan ini, Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya, hari ini, menasihatkan dan mengingatkan orang ramai supaya menghindarkan daripada melakukan apa jua pembakaran atau penggunaan alat-alat yang menggunakan bahan bakar seperti arang di dalam bilik atau ruang yang tertutup.

Ini kerana ia mengeluarkan dan memerangkap karbon monoksida yang mendatangkan risiko keracunan yang sangat memudaratkan dan boleh mengakibatkan kematian.

Di antara amalan atau perbuatan yang berisiko mengakibatkan keracunan karbon monoksida yang dimaksudkan adalah seperti ‘bediang’ dalam ruang yang tertutup dan keberadaan dalam kereta yang tertutup rapat, berhenti lama dengan keadaan injin kereta hidup berterusan.

Menurut pakar perubatan Kementerian Kesihatan, jika karbon monoksida dihidu secara berterusan ia akan menyerap ke dalam sel-sel darah merah dan menghalang penyerapan gas oksigen.

Ini akan menyebabkan ‘Hypoxia’ (kekurangan oksigen dalam darah) yang boleh mengakibatkan simptom-simptom seperti pening, mual, masalah pernafasan, kelemahan pada otot dan pengsan tidak sedarkan diri dan juga boleh membawa kepada kematian.

Untuk maklumat lanjut mengenai dengan risiko keracunan karbon monoksida yang berkaitan dengan kesihatan, orang ramai bolehlah menghubungi talian Healthline 145.

ARTIKEL YANG SAMA