Kerahsiaan negara bukan untuk halalkan salah laku mana-mana pihak

Kerahsiaan negara bukan untuk halalkan salah laku mana-mana pihak

PUTRAJAYA, 15 Feb – Kerahsiaan negara bukan untuk menghalalkan mana-mana pihak menyalahgunakan kuasa dan melakukan rasuah, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Bercakap kepada pemberita selepas perjumpaan bersama warga kementerian serta menghadiri sambutan Tahun Baru Cina kementeriannya di sini hari ini, beliau berkata kerahsiaan dalam sesebuah institusi adalah penting dalam melaksanakan sesuatu tugas.

“Ini isu yang kompleks kerana dalam sesetengah hal kerajaan tidak boleh membocorkan maklumat atas sebab tertentu, namun sebaliknya kita telah dituduh menyembunyikan rahsia.

Tidak ada organisasi yang boleh berjaya tanpa ada rahsia, jangan cakap negara atau kerajaan malah institusi keluarga sekalipun jika kita terlalu terbuka kepada pihak luar, institusi itu akan hancur,” katanya.

Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) turut memberikan contoh negara maju seperti Singapura, United Kingdom dan Switzerland yang berjaya pada hari ini kerana mereka menghormati kerahsiaan data dan maklumat.

Beliau berkata terdapat juga pelbagai saluran untuk membuat aduan jika terdapat salah laku termasuklah unit integriti setiap kementerian, Biro Pengaduan Awam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Kota Belud turut meminta SPRM untuk mempraktikkan Seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi melindungi integriti pihak yang dituduh. –Bernama

ARTIKEL YANG SAMA