Kerajaan akan terus bantu, bimbing usahawan India

Kerajaan akan terus bantu, bimbing usahawan India

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Kerajaan melalui Sekretariat Khas untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED) akan meneruskan usaha membimbing usahawan India bagi membolehkan mereka melonjakkan perniagaan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Timbalan Pengarah 1, Seksyen Pengagihan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Abdul Halim Abdul Aziz berkata fokus utama kerajaan adalah usahawan mikro.

“Data yang diperoleh daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa 91 peratus usahawan India terdiri daripada usahawan mikro manakala sembilan peratus adalah perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

“SEED mahu membantu usahawan kategori mikro tersebut untuk menaikkan taraf perniagaan mereka kepada PKS dan antara bantuan yang disalurkan adalah bantuan kewangan yang diperuntukkan kerajaan melalui program Rancangan Malaysia ke-11,” kata beliau kepada media selepas menghadiri taklimat keusahawanan SEED 100 Series Agile Marketing.

Abdul Halim berkata dalam RMK-11, kerajaan telah menyediakan RM150 juta kepada SEED bagi tujuan membantu syarikat-syarikat yang memerlukan bantuan kewangan tersebut.

“Jika permohonan mereka wajar, dengan output dan hasil yang betul, kami akan mempertimbangkan untuk menyediakan pembiayaan kepada mereka.

“Selain bantuan kewangan, SEED juga akan membantu mengenal pasti jenis bantuan yang diperlukan oleh syarikat-syarikat yang boleh membantu mereka mencipta kejayaan, sama ada dalam pemasaran atau inovasi,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA