Kerajaan komited sokong inisiatif HoB

Kerajaan komited sokong inisiatif HoB

SANDAKAN, 11 Ogos – Kerajaan Persekutuan komited menyokong pelaksanaan projek dan aktiviti di bawah inisiatif Heart of Borneo (HoB) atau Jantung Borneo dengan memperuntuk RM34.46 juta untuk program itu.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir. Hamim Samuri berkata bagi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan berjumlah RM10.8 juta dan sebanyak RM23.66 juta diperuntukkan bagi RMK-10.

“Sabah menerima peruntukan berjumlah RM24.16 juta manakala Sarawak menerima RM10.3 juta. Berikutan pencapaian yang memberangsangkan, sokongan akan diteruskan dalam RMK-11.

“Ia sejajar dengan usaha kerajaan menjadikan EkoPelancongan Hijau sebagai satu daya dorongan Malaysia melihat peranan sumber asli dan alam sekitar dalam pembangunan sosio-ekonomi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Tiga Hala Kesembilan HoB di sini, hari ini.

Inisiatif HoB bertujuan memulihara dan menguruskan kawasan tanah tinggi Borneo serta sebahagian kaki bukit dan tanah rendah yang bersempadan antara Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia.

Hamim berkata pembangunan sosio-ekonomi di Malaysia dilaksanakan lebih mampan dengan melindungi kedua-dua hasil pembangunan dan biodiversiti yang sejajar dengan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memulihara dan mengekalkan biodiversiti.

Mesyuarat tiga hala itu merupakan forum bagi Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia membincangkan kemajuan pelaksanaan insiatif HoB dan program kerjasama berkaitan.

Antara perkara dibincangkan pada mesyuarat itu, yang bermula hari ini, adalah berkaitan pengurusan kawasan perlindungan merentasi sempadan, cadangan projek koridor HoB, konservasi biodiversiti dan ekopelancongan hijau. – Bernama