Kerajaan lulus RM68 juta tingkat sistem tinjauan cuaca

Kerajaan lulus RM68 juta tingkat sistem tinjauan cuaca

KOTA KINABALU, 19 April (Bernama) – Kerajaan pusat telah meluluskan RM68 juta untuk meningkatkan sistem tinjauan cuaca yang merangkumi model cuaca dan sistem penyediaan maklumat cuaca di Sabah, kata Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang.

Beliau berkata pelaksanaan projek jangka pendek Jabatan Meteorologi Malaysia itu melibatkan peningkatan ketepatan tinjauan cuaca bagi pengeluaran amaran cuaca buruk dengan tempoh lebih panjang iaitu tujuh hari.

Peningkatan keupayaan penyampaian maklumat cuaca akan membolehkan maklumat berkenaan cuaca mudah difahami dan diterima tepat pada masanya, katanya ketika menjawab soalan Datuk James Ratib (BN-Sugut) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

“Perancangan jangka pendek ini membolehkan maklumat cuaca dikeluarkan lebih awal, cepat dan tepat pada masanya kepada agensi-agensi pengurusan bencana dan orang awam. Projek ini dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2017,” katanya.