Kerajaan mampu urus tabir negara dengan baik – Salleh

KOTA BELUD, 9 Mac – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan hanya kerajaan yang bertanggungjawab seperti Barisan Nasional (BN) mampu mengurus dan mentadbir negara dengan baik.

Beliau berkata negara yang ditadbir dengan baik seperti dilakukan BN yang menerajui kerajaan sejak negara merdeka, manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

“Terlalu banyak bantuan (secara langsung dan tidak langsung) dan secara meluas kerajaan berikan kepada rakyat. Ia bukan tugas mudah untuk dilakukan dan hanya boleh dilakukan oleh sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

“Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, harus menentukan bahawa negara kita ini aman damai dan harmoni. Kalau negara kita tidak aman damai, tidak ada kestabilannya, kita tidak boleh memberi tumpuan agar keperluan rakyat itu diberi perhatian,” katanya semasa merasmikan majlis penyerahan Bantuan Awal Persekolahan bagi murid Sekolah Kebangsaan Tempasuk 1 hari ini.

Justeru kerajaan yang bertanggungjawab harus menentukan terlebih dahulu bahawa negara dalam keadaan aman, damai dan stabil, katanya. – Bernama

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyampaikan amanat kepada pergerakan Pemuda Barisan Nasional Kadamaian ketika menghadiri program santai jentera briged gempur pergerakan pemuda BN N7 Kadamaian di Kampung Purak Ogis kelmarin. – Bernama