Kerajaan mantapkan kawasan sempadan Malaysia-Thailand

Kerajaan mantapkan kawasan sempadan Malaysia-Thailand

JELI, 14 Ogos – Kerajaan akan memantapkan pembangunan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi menggalakkan aktiviti perdagangan di kawasan tersebut.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata setakat ini, pembangunan di kawasan sempadan tersebut agak perlahan sedangkan ia berpotensi untuk perdagangan rentas sempadan bagi negara-negara ASEAN.

“Kita nak mantapkan lagi perdagangan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, supaya berlaku pergerakan aktif dalam aktiviti eksport rentas sempadan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Inkubator Jaguh Eksport ASEAN (Program IJEA) di sini, kelmarin.

Mustapa berkata pembangunan di kawasan sempadan itu, akan turut menggalakkan usahawan mikro, khususnya di Kelantan, Kedah, dan Perlis, memasarkan produk keluaran mereka ke negara jiran.

Sementara itu, beliau berkata Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) kini bekerjasama dengan Persatuan Usahawan Muda ASEAN (MAAYE) dalam melaksanakan program IJEA bagi mempersiapkan usahawan mikro di kawasan luar bandar untuk mengembangkan perniagaan ke negara ASEAN.

Beliau berkata selain pembangunan produk, usahawan terbabit akan didedahkan dengan selok-belok eksport dengan membawa mereka menyertai pelbagai aktiviti seperti ekspo dan karnival peringkat ASEAN.

Komuniti usahawan Parlimen Jeli dipilih sebagai kumpulan perintis untuk program IJEA berikutan kedudukan Jeli yang strategik selain adanya pergerakan aktif dalam aktiviti eksport rentas sempadan Kelantan dan wilayah Selatan Thailand.

Seramai 700 pengusaha mikro berstatus Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari sektor pertanian, penternakan, pembuatan, peruncitan, gaya hidup dan makanan, akan dilibatkan dalam program berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Dzulkifli Mahmud pula berkata program bimbingan usahawan itu meliputi sesi latihan yang pragmatik dan praktikal melalui kaedah penyampaian ilmu yang mudah difahami.

Antara topiknya ialah risikan pasaran, maklumat tarif dan halangan bukan tarif, penjenamaan, pemasaran, pembungkusan dan perhubungan media. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA