Kerajaan negara ASEAN perlu tambah insentif

Kerajaan negara ASEAN perlu tambah insentif

PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) – Kerajaan negara anggota ASEAN perlu menimbang memberi lebih banyak insentif bagi perbelanjaan yang ditanggung majikan dalam melaksanakan aturan kerja fleksibel, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib. Beliau berkata ia bertujuan mendorong lebih banyak syarikat melaksanakan aturan itu.

Menurut beliau, aturan kerja fleksibel akan memberi lebih banyak kebebasan kepada pekerja dari segi masa mereka memulakan dan menamatkan kerja, dengan syarat mereka tidak mengurangkan jumlah jam bekerja yang ditetapkan majikan.

“Sekiranya aturan kerja fleksibel dilaksanakan dengan lebih meluas pada masa akan datang, maka tenaga mahir, suatu aspek penting dalam integrasi Komuniti Ekonomi ASEAN, akan dapat dikekalkan,” kata Ismail ketika menyampaikan ucaptama pada seminar “Menseimbangkan Fleksibiliti dan Keselamatan Pasaran Buruh ASEAN di sini Rabu.

Ismail berkata aturan kerja fleksibel dijangka menjadi aspek penting dalam strategi sumber manusia kebanyakan syarikat memandangkan tenaga kerja, terutama dalam kalangan generasi baharu, semakin prihatin terhadap keseimbangan antara kerja dan kehidupan.

“Oleh itu, syarikat tempatan perlu menimbang secara serius untuk melaksanakan aturan kerja fleksibel bagi mencapai objektif mereka untuk menarik, mendorong dan mengekalkan bakat, khususnya tenaga buruh mahir,” katanya.

Ismail juga mencadangkan agar majikan mengkaji pelbagai bentuk aturan kerja fleksibel, termasuk perkongsian kerja dalam kalangan pekerja, bekerja dari rumah, sistem bekerja secara sambilan dan waktu fleksibel. Sebanyak 100 peserta terdiri daripada wakil kesatuan sekerja, persatuan majikan dan pertubuhan masyarakat sivil dari negara anggota ASEAN dan rakan dialog ASEAN iaitu China, Jepun dan Korea Selatan menghadiri seminar dua hari itu, yang bermula Rabu.

Seminar ini dianjurkan Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Sekretariat ASEAN dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA