Kerajaan negeri alu-alukan input jurutera untuk tangani cabaran

Kerajaan negeri alu-alukan input jurutera untuk tangani cabaran

KOTA KINABALU, 29 Nov (Bernama) – Kerajaan negeri Sabah mengalu-alukan input daripada jurutera mengenai cara-cara lebih efektif untuk menangani impak negatif disebabkan oleh kejadian seperti banjir kilat dan gempa bumi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata kerajaan negeri dan Institut Jurutera Malaysia (IEM) cawangan Sabah boleh bekerjasama dalam pelbagai isu untuk menyelaraskan proses tertentu dan mempercepatkan proses membuat keputusan kepada pihak lain.

“Kerajaan Sabah menekankan untuk mencari penyelesaian yang efektif terhadap masalah.

“Saya mengalu-alukan IEM kerana mencadangkan penyelesaian terhadap isu-isu seperti pembangunan berisiko tinggi, pengurusan air dan penilaian kesan trafik kepada kementerian dan agensi kerajaan,” kata beliau pada majlis jamuan malam tahunan ke-39 IEM cawangan Sabah di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Musa berkata, kerajaan negeri sentiasa mengakuibahawa jurutera memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

Terdahulu, dalam ucapannya, pengerusi IEM Cawangan Sabah yang baharu, YahyaAwang Kahar berkata bahawa pertubuhan itu akan menyokong usaha kerajaan untuk membangunkan negeri ini.